Ahad, 17 September 2017

PAS gesa mufti keluar fatwa larang pesta arak bulan depan

 
Mohd Khairuddin berkata, Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan tidak wajar menjadi hub pesta arak yang tidak mendatangkan kebaikan bagi rakyat malah memudharatkan.


khairudin-beer

PETALING JAYA: Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mahu para mufti segera mengeluarkan fatwa dan pandangan khusus berhubung pesta arak yang akan diadakan di ibu negara bulan depan sebagai panduan dan arahan kepada kerajaan Malaysia.

Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan tidak wajar menjadi hub pesta arak yang tidak mendatangkan kebaikan bagi rakyat malah memudharatkan.

“Pesta arak ini hanya akan mengundang lebih banyak gejala negatif kepada masyarakat di kala negara telah berhadapan dengan pelbagai kemelut sosial.”

Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, Khairuddin berkata, Better Beer Festival 2017 sewajarnya dibantah oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, pihak berkuasa mesti membatalkannya kerana ia bercanggah dengan dasar negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dan mengundang pelbagai gejala negatif.

“Minum arak adalah hak bagi orang bukan Islam tetapi bukan hak bagi masyarakat bukan Islam untuk menganjurkan pesta terbuka mengajak masyarakat minum arak yang haram di sisi umat Islam.

“Ia sangat bertentangan dengan sensitiviti masyarakat Islam yang menjadi majoriti rakyat negara ini. Menjaga sensitiviti ini adalah kewajipan bersama seluruh rakyat Malaysia kerana ia melibatkan keamanan dan keharmonian bernegara,” kata beliau lagi.

Sebelum ini Pemuda PAS Pusat mencabar parti komponen dalam pakatan pembangkang untuk menyatakan pendirian mereka berhubung penganjuran pesta arak itu.

Naib ketuanya. Ahmad Fadhli Shaari berkata suara lantang yang dizahirkan DAP dalam mempertahankan penganjuran berkaitan (pesta arak) dilihat bukan sahaja satu kebiadaban, bahkan modal kepada provokasi tipikal parti tersebut di mana acapkali membayangi aktiviti seperti itu.

“Kami juga mencabar dan menuntut parti-parti komponen Pakatan Harapan menyatakan pendirian dan sikap mereka berhubung isu ini. Berdiam diri bererti bersetuju dan bersekongkol, sekali gus mengesahkan DAP adalah ‘ketua’ sebenar PH yang tidak berani disanggah sama sekali,” katanya .

Menurut beliau, penganjuran pesta arak dilihat secara sengaja cuba mencabar sensitiviti agama di negara ini apabila acara tahunan sejak 2012 itu diuar-uarkan sebagai “The Biggest Celebration of the Craft Beer Revolution in Malaysia”.

Tiada ulasan: