Ahad, 17 September 2017

Muhyiddin anggap dua ahli parti keluar sebagai cabaran kepada PPBM

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yasin menghormati keputusan yang diambil dua ahli parti itu yang mengumumkan keluar parti semalam.
 
Beliau malah berkata tidak berasa terkilan dengan keputusan yang diambil kedua-dua bekas ahlinya itu dan menganggap ia sebagai satu cabaran kepada parti yang baru setahun ditubuhkan itu.
 
"Bagi saya itu adalah hak mereka, kita menghormati hak mereka untuk tidak mahu terus bersama dengan kita, tidak mengapa sebab kita akan teruskan usaha kita dengan yang masih ada.
 
"Ini cabaran bagi kita tapi tak mengapa bagi saya itu bukan satu perkara yang membuatkan saya terkilan, ini keputusan yang telah mereka buat jadi kita menghormati," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri ceramah Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Setapak malam tadi.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan dua ahli wanita di dalam parti itu yang mengumumkan untuk tidak lagi mahu berjuang bersama PPBM berkuatkuasa 16 September iaitu semalam.
 
Terdahulu, salah seorang daripada pengasas PPBM, Anina Saadudin bertindak keluar parti hari ini selepas dikatakan sudah tidak lagi tahan dengan layanan buruk yang diterima beliau ketika berada di dalam parti itu.
 
Anina mengkritik kepimpinan parti yang tidak memberikan hak kepada ahli untuk bersuara dan menyatakan pandangan kepada mana-mana pemimpin yang seterusnya menjadikan parti itu dikuasai oleh pemimpin yang hanya mementingkan kuasa politik peribadi mereka sahaja.
 
Alasan Anina ini dilihat sama dengan seorang lagi pengasas parti itu yang telah keluar parti pada April lalu, Kamarulazman Habibur Rahman.
 
Sejurus selepas pengumuman yang dibuat Anina itu, Setiausaha Agung PPBM Datuk Dr Shahruddin Md Salleh pula mengumumkan peletakan jawatan Naib Presiden parti, Datuk Hamidah Othman yang berkuat kuasa serta merta.
 
Mengulas kekosongan jawatan Naib Presiden yang dipegang Hamidah itu, Muhyiddin berkata perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu pada mesyuarat Majlis Tertinggi parti.
 
"Majlis tertinggi akan putuskan nanti, kita akan putuskan sama ada boleh diisi atau tidak kita akan rujuk pada pakai undang-undang kita," ujarnya ringkas.
 
Polemik di dalam PPBM kini dilihat semakin teruk selepas satu persatu ahli mengumumkan untuk keluar parti walaupun baru sahaja setahun ditubuhkan.
 
Sehingga kini, keputusan untuk keluar parti yang diambil mereka itu kebanyakannya disebabkan kelemahan pimpinan tertinggi yang mempimpin PPBM pada hari ini.
 
 

Tiada ulasan: