Rabu, 20 September 2017

Mat Taib mampu jadi kekuatan kepada Umno Selangor, kata bekas MB

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas menteri besar Selangor, Dr Khir Toyo berpandangan penyertaan semula Tan Sri Muhammad Muhamad Taib ke dalam Umno merupakan perkhabaran gembira buat parti itu.
 
"Kembalinya Mat Taib ke pangkuan Umno, saya ucapkan Alhamdulillah," ujarnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Tambah Khir, meskipun wujud cakap-cakap yang memperlekeh kemasukan semula Muhammad, namun beliau menegaskan ia mempunyai kesan yang tersendiri buat Umno.
 
"Sama ada (impak) besar atau kecil, ia tak penting sekarang. Kerana Umno-BN perlukan setiap sokongan walaupun seorang.
 
"Inikan pula Mat Taib (Muhammad), bekas MB Selangor. Sudah tentu orang akan fikir, beliau akan bawa penyokongnya, sama ada seorang, dua atau lebih, untuk menguatkan Umno," tegas Khir.
 
Muhammad, yang lebih dikenali sebagai  Mat Taib, yang meninggalkan Umno pada 2013, kembali menyertai parti berkenaan pada 17 September baru-baru ini.
 
Khir mengulas keadaan semasa pembangkang, lebih-lebih lagi selepas Mat Taib sendiri mengakui dirinya kecewa dengan perjuangan PKR yang tidak mementingkan agenda perjuangan Melayu dan Islam.
 
"Pembangkang kini parti yang angkuh, kerana juga menjadi kerajaan negeri. Mereka memandang bahawa setiap pemimpin Umno yang masuk PKR ada lain-lain tujuan, sama ada untuk jawatan atau apa sahaja. Sebab itu mereka tak layan pemimpin Umno yang menyertai pembangkang sebab mereka akan keluar kembali," demikian menurutnya.
 
Untuk rekod, selepas keluar Umno pada 2013, Mat Taib menyertai PAS namun tidak lama selepas itu bekas menteri besar Selangor bagi tempoh 1986 hingga 1997 itu menyertai PKR pada 2015.
 
Keputusan Mat Taib kembali ke Umno dilihat akan memperkuatkan kempen parti itu untuk menawan semula Selangor daripada pembangkang yang dipimpin oleh PKR sejak 2008.
 
Bagaimanapun wujud khabar angin ada lagi penyertaan pemimpin pembangkang ke dalam Umno selepas kemasukan semula Mat Taib, sebagaimana disahkan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa semalam.
 
Mengulas hal itu, Khir memberitahu dirinya tidak percaya kepada ura-ura tersebut dan menyifatkan ia sebagai spekulasi sahaja.
 
"Saya tidak rasa begitu kononnya beberapa ADUN PKR mahu sertai Umno pada ketika ini berdasarkan situasi politik, sama ada di peringkat nasional atau negeri, saya tak terfikir wakil rakyat PKR hendak sertai Umno. Saya fikir ini hanya spekulasi yang dimainkan oleh pihak luar sana yang tidak pandai baca politik," kata Khir.
 
Terdahulu Annuar berkata ramai ahli PH akan menyertai Umno dimana pengumumannya akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.
 
 

Tiada ulasan: