Rabu, 20 September 2017

KPN: Siasatan pusat tahfiz terbakar hampir selesai

ANTARAPOS

Post Pic
 

PENGKALAN CHEPA: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan siasatan polis terhadap kes kebakaran pusat tahfiz Khamis lalu hampir selesai.
 
Beliau memaklumkan beberapa pihak lain, antaranya Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kimia memerlukan sedikit masa untuk menyiapkan laporan mereka.
 
Kejadian kebakaran awal pagi di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Khamis lalu meragut nyawa 23 orang pelajar dan tenaga pengajar.
 
"Sebaik kesemua laporan siap, kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2017 di Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan di Pengkalan Chepa hari ini.
 
Malah menurut Fuzi siasatan pasukan khas bagi menyiasat kebocoran maklumat  dan perincian penyiasatan kes berkaitan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu berjalan lancar.
 
Pihak polis memandang serius perkara itu selepas fakta kes dan maklumat sulit tentang penahanan suspek serta beberapa gambar mereka menjadi tular di media sosial, katanya.
 
Tujuh suspek yang berusia antara 11 hingga 18 tahun yang dipercayai terbabit dengan kejadian itu telah ditahan.

Tiada ulasan: