Isnin, 18 September 2017

KEMASKINI] Dr Mahathir tak tahu BNM rugi RM30 bilion

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai kerugian bernilai RM30 bilion yang dialami oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan urus niaga mata wang asing.
 
Beliau merujuk kepada kenyataan saksi ke-14 iaitu bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Clifford Herbert yang mendakwa beliau sebagai berkata "kadang-kadang kita untung, kadang-kadang kita rugi" apabila diberitahu mengenai kerugian urus niaga bank pusat itu.
 
"Beliau mengatakan bahawa beliau berama Datuk Seri Anwar Ibrahim (saksi ke-21) ada berjumpa dengan saya di pejabat Perdana Menteri pada lewat 1993. 
 
"Menurutnya lagi dalam keterangannya, mereka berdua telah melaporkan kepada saya tentang kerugian BNM sebanyak 30 bilion. Beliau juga telah menambah bahawa saya telah mengatakan 'sometimes we make profit and sometimes we make losses'. 
 
"Pertama sekali saya mengatakan bahawa kehadiran saksi ke-14 dan saksi ke-21 di pejabat saya pada lewat 1993, adalah beberapa bulan selepas pembentangan laporan kewangan tahunan BNM 1992 di parlimen pada April 1993. 
 
"Oleh yang demikian apa-apa maklumat berkaitan dengan BNM itu tidak dimaklumkan kepada saya sebelum laporan kewangan tahunan BNM 1992 itu telah diaudit, mahupun sebelum ianya dibentangkan di Parlimen pada April 1993," katanya ketika memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.
 
Dr Mahathir adalah saksi ke-24 pada prosideng hari ke-7 hari ini.
 
Tambah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, dalam perjumpaannya bersama dua individu tersebut juga, beliau dimaklumkan secara lisan mengenai kerugian BNM tetapi mendakwa 'tidak ingat angka RM30 bilion disebut'.
 
"Apa yang pasti, jika saya berkata demikian (kadang-kadang kita untung, kadang-kadang kita rugi) ini meyakinkan saya bahawa kerugian RM30 bilion itu tidak disebutkan kepada saya.
 
"Jika itu disebut, mustahil bagi saya berkata demikian," katanya lagi. 
 
Dalam pada itu beliau mengakui pernah dijemput oleh Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein ke bilik urus niaga (trading room) forex.
 
Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, beliau pergi ke bilik itu sekali sahaja dalam tempoh pekhidmatannya sebagai Perdana Menteri.
 
"Dalam ingatan saya, pada lawatan itu saya cuma berada di sana untuk tempoh masa lebih kurang setengah jam sahaja. Tujuan saya hadir disitu adalah untuk memenuhi hasrat dan jemputan Allahyarham Tan Sri Jaffar semata-mata," katanya lagi.
 
Ujarnya, Jaffar memaklumkannya secara lisan bahawa BNM dapat mengukuhkan keadaan rizab negara dan mata wang ringgit melalui urus niaga mata wang asing pada ketika itu.  
 
Tambah Dr Mahathir keputusan Jaffar supaya negara aktif dalam perdagangan forex, tidak dibuat dengan pengetahuannya.
 
 

Tiada ulasan: