Rabu, 20 September 2017

DAP mahu kembalikan hakmilik pengangkutan awam kepada rakyat


Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Perjanjian konsesi projek-projek pengangkutan awam negara mesti didedahkan kepada umum supaya orang ramai boleh menilai sendiri siapa sebenarnya yang mengaut laba daripada kepayahan masyarakat sehari-hari.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming dalam pembentangannya di program Social City di sini semalam, mendedahkan bagaimana syarikat-syarikat konsesi pengangkutan awam membuat keuntungan mudah melalui hasil pampasan kerajaan.

“Mereka unjurkan kadar penumpang tinggi dan menaikkan kadar tambang selang beberapa tahun.

“Namun apabila tidak dibenarkan berbuat demikian, mereka menuntut pampasan daripada pihak kerajaan seperti yang termaktub dalam perjanjian konsesi,” dedahnya dalam acara anjuran Refsa itu.

Dr Ong terlebih dahulu menyampaikan pembentangan mengenai pembiayaan projek pengangkutan awam berskala besar dalam negara dan menimbulkan beberapa persoalan penting mengenai kos pembangunan dan siapa yang menikmati hasil keuntungan daripada projek-projek tersebut.

Antara sumber pembiayaan terbabit termasuklah melalui pinjaman Exim Bank of China bagi projek Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) sebanyak RM55 bilion.

“Projek ini dilakukan secara rundingan terus, dan mengunjurkan kadar pengangkutan kargo dan penumpang yang tidak realisitik,” jelas Dr Ong.

Kembalikan hak kepada rakyat

Ekoran hal tersebut, DAP mahu supaya pemusatan kuasa dalam pentadbiran pengangkutan awam negara perlu dipecahkan dan dikembalikan kepada rakyat melalui pihak berkuasa tempatan.

Menurut Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong; bidangkuasa pengangkutan awam bukan sahaja tidak berada di tangan pihak berkuasa tempatan, bahkan dikawalselia oleh Jabatan Perdana Menteri.
“Bukan Kementerian Pengangkutan pun. Saya rasa ini sesuatu yang kita mesti ubah,” tegasnya yang juga Pengerusi Refsa.

“Bila nanti kita menjadi kerajaan, kita tidak mahu Perdana Menteri menguruskan pengangkutan awam,” ujarnya sambil menegaskan bahawa penyahpusatan kuasa adalah antara perkara yang mesti diusahakan oleh pentadbiran Pakatan Harapan kelak.

“Kerajaan Negeri patut ada kuasa. Contohnya bas percuma di Pulau Pinang,” tambah Chin Tong yang mencetuskan idea bas percuma tersebut ketika menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera di negeri tersebut.

Acara Social City kali ini melanjutkan perbincangan perancangan bandar yang inklusif dan bermasyarakat. – Roketkini.com


Tiada ulasan: