Selasa, 19 September 2017

Cadangan pinda Akta GST ke Parlimen bulan depan

 
Kerajaan mahu mengutip berbilion ringgit cukai daripada syarikat asing yang beroperasi di Malaysia di bawah ekonomi digital.


T-Subromaniam-gst1

KUALA LUMPUR: Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 akan dipinda bagi membolehkan kerajaan mengutip berbilion ringgit cukai daripada syarikat asing yang beroperasi di Malaysia di bawah ekonomi digitial.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata cadangan pindaan itu akan dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen bulan depan.

“Kerugian terbesar dalam ekonomi digital ialah transaksi perniagaan kepada pengguna. Syarikat yang menyediakan perniagaan itu berada di luar negara dan menghantar terus kepada pengguna di sini,

Mereka mungkin dapat pembayaran serta-merta sedangkan perkhidmatan itu tidak dikenakan cukai.

“Ini merupakan diskriminasi ke atas penggiat tempatan yang dikenakan cukai,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan GST 2017 di sini hari ini.

Subromaniam berkata antara perniagaan dalam ekonomi digital di Malaysia yang kini tidak dikenakan cukai melibatkan pemaju perisian dan platform media sosial terkemuka.

Beliau berkata cadangan pindaan ke atas Akta GST masih di peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan pihak berkuasa yang berkaitan.

Sementara itu beliau berkata kastam dalam kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran kutipan cukai sebanyak RM42 bilion tahun ini, termasuk sumbangan daripada GST.

Jabatan itu mengumpul RM41 bilion cukai pada 2016

Tiada ulasan: