Selasa, 19 September 2017

Benarkah KWSP setuju melabur di AS?

Tony Pua

Adakah keputusan kerajaan untuk melaburkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapat sokongan jawatankuasa pelaburan agensi terbabit atau terdapat ‘campur tangan politik’, soal Ahli Parlimen Petaling jaya Utara Tony Pua.

Beliau mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan bukti bahawa keputusan untuk melabur sebanyak AS$3 bilion daripada KWSP di Amerika Syarikat (AS) mendapat persetujuan jawatankuasa pelaburannya.

“Memandangkan Datuk Seri Najib mendakwa keputusan itu bukannya dibuat oleh ahli politik, kami ingin bertanya jika jawatankuasa pelaburan KWSP telah membuat keputusan untuk melabur AS$3 bilion hingga AS$4 bilion untuk menyokong pembangunan semula infrastruktur di Amerika Syarikat?” soalnya.

Najib berkata keputusan untuk melabur di AS bukan dibuat oleh ahli politik, sebaliknya oleh jawatankuasa pelaburan KWSP.

Menurut Tony, jika pelaburan itu tidak dipengaruhi oleh politik, dan jika KWSP tidak memutuskan untuk melabur jumlah tertentu di AS, ia bermakna Najib membuat janji kosong kepada Presiden AS Donald Trump.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu menjelaskan, meskipun KWSP mempunyai hak untuk menentukan pelaburannya di luar negara selepas menjalankan analisis wajar, bagi rakyat Malaysia, tindakan itu tidak wajar.

Malang lagi, keputusan Najib mahu berbelanja berbilion-bilion ringgit menyokong ekonomi AS dibuat ketika Malaysia memiliki keperluan mendesak.

“Namun, bagi rakyat Malaysia, tidak ada resolusi atau komitmen yang KWSP mahu melabur jumlah yang besar itu untuk menyokong pembangunan semula infrastruktur di Amerika Syarikat.

“Kita tidak mempunyai wang untuk membina infrastruktur sendiri dan perdana menteri kita mahu membantu menjadikan Amerika hebat sekali lagi,” katanya.

Beliau juga berkata, tindakan Najib itu jelas cuba mengambil hati Trump supaya kerajaan AS berlembut terhadap langkah Jabatan Kehakiman (DoJ) untuk menyita aset-aset 1MDB.

“Kita menyeru KWSP dan Khazanah Nasional untuk mengekalkan disiplin kewangan bebas, bebas daripada campurtangan dan tekanan politik dalam menjalankan mandat pelaburan mereka,” tegasnya.

Dalam lawatan selama tiga harinya ke AS, Najib mengumumkan KWSP bercadang untuk melabur sebanyak AS$3 bilion (RM13 bilion) kepada AS$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula infrastruktur AS.


Tiada ulasan: