Ahad, 17 September 2017

Arkitek muda tawar khidmat percuma untuk sekolah tahfiz

 
Nurul Sakinah Zainol Akmar berkata beliau mahu memastikan setiap sekolah tahfiz mematuhi peraturan undang-undang kecil dan keselamatan demi semua.


sakinah

SUBANG JAYA: Seorang arkitek muda menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada kumpulan atau individu yang ingin membina sekolah tahfiz dengan menyatakan niat beliau untuk membantu memastikan keselamatan di institusi tersebut.

Nurul Sakinah Zainol Akmar, yang telah menjadi arkitek sejak 5 tahun lalu berkata beliau mahu memastikan sekolah tahfiz mematuhi peraturan undang-undang kecil dan keselamatan demi semua.

Tawaran yang dibuat menerusi Facebook susulan kebakaran yang menuntut 23 nyawa di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, Khamis lalu.

“Banyak sekolah tahfiz berhadapan dengan (isu) dana,” kata beliau.

Malah menurut Nurul Sakinah, kebanyakan tahfiz tidak mempunyai sumber kewangan untuk mendapatkan khidmat arkitek dan biasanya akan terus merujuk kontraktor dan “memberitahu mereka berapa banyak bilik, bilik mandi atau dewan yang mereka perlukan.”

“Tetapi kontraktor mungkin tidak biasa dengan undang-undang yang berkaitan dengan keselamatan kebakaran. Saya tidak keberatan untuk membantu.”

Nurul Sakinah berkata masa selama 1 hingga 3 minggu diperlukan untuk membuat pelan bangunan.

Bagaimanapun, katanya, apa-apa rancangan yang disediakan masih perlu diluluskan oleh arkitek profesional seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

“Kanak-kanak perlu belajar dan hidup dalam persekitaran yang selamat,” kata beliau.

Tambah Nurul Sakinah, beliau faham mereka yang mengendalikan sekolah tahfiz mempunyai niat yang baik dan dana terhad, “tetapi kita tidak boleh berkompromi dengan keselamatan.”

Merujuk kepada Undang-undang Kecil Bangunan Seragam dan Panduan Perlindungan Kebakaran, beliau berkata, peruntukan itu menentukan penggunaan bata tanah liat dalam pembinaan bangunan, pemasangan pintu tahan api yang mudah diakses dan penyediaan peralatan seperti pemadam api, penyiram dan pengesan asap.

Beliau juga merujuk kepada spesifikasi jarak antara pintu dan tangga.

Sehubungan itu beliau menasihatkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama untuk mengambil berat mengenai soal keselamatan kebakaran.

Beliau berkata, mereka harus memastikan, contohnya, terdapat pemadam api di setiap bilik, gril tingkap boleh dibuka dengan mudah, terdapat ruang berjalan kaki yang cukup di antara katil dan terdapat kawasan terbuka di luar bangunan untuk pelajar dihimpunkan.

“Juga perhatikan akses jalan ke bangunan. Sekiranya terdapat hanya 1 akses dan jalannya sempit, sukar bagi bomba untuk sampai ke tempat tepat pada masanya.”

Beliau juga menasihatkan ibu bapa untuk bertanya tentang kekerapan latihan kebakaran.

Idealnya kata beliau, pihak sekolah harus membenarkan ibu bapa menyertai latihan yang diadakan.

Mereka yang ingin mendapatkan bantuan Nurul Sakinah boleh menghubunginya melalui telefon (012 361 8051) atau e-mel (nurul.zainolakmar@gmail.com).

Tiada ulasan: