Isnin, 18 September 2017

Anina keluar PPBM kerana masalah peribadi, bukan parti - Muhyiddin

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Tindakan Anina Saadudin yang mengisytiharkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kelmarin adalah disebabkan masalah peribadi dan tiada kaitan dengan kepimpinan parti.
 
Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan, pemimpin wanita itu pernah berjumpa dengan beliau beberapa bulan lalu dan menyatakan hasrat untuk 'berundur' ekoran menghadapi 'masalah yang begitu banyak'. 
 
"Dia kata dia hadapi masalah begitu banyak. Tak ada duit, tak ada  kerja, (tapi) tiada dia sebut mengenai sikap saya atau Tun atau mana-mana pemimpin kerana walaupun beliau tak lagi Ketua Srikandi, (tapi) dia masih duduk dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
 
"Tapi malangnya untuk beberapa bulan kita bermesyuarat, beliau tak pernah hadir, dalam program parti pun dia tak hadir. Jadi inilah keputusan yang beliau buat dan tiada kaitan dengan kepimpinan. Dia ada masalah dia dan peribadi dia," kata beliau ketika ditemui pemberita di lobi Istana Kehakiman di sini sebentar tadi.
 
Muhyiddin terdahulu membuat kejutan apabila hadir di Istana Kehakiman bagi mendengar keterangan Tun Dr Mahathir Mohamad pada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an. 
 
Anina pada Sabtu lalu mengumumkan keluar daripada PPBM, parti yang diasaskannya bersama beberapa bekas pemimpin Umno yang diterajui Dr Mahathir.
 
Beliau membuat keputusan nekad tersebut selepas dikatakan sudah tidak lagi tahan dengan layanan buruk yang diterima ketika berada di dalam parti tersebut. 
 
Ini termasuk cara “kejam” beliau dipecat daripada jawatan ketua srikandi PPBM, kemudian digugurkan sebagai ahli MPT dengan “menendangnya” daripada kumpulan WhatsApp MPT PPBM, selain tidak mendapat jemputan rasmi ke sambutan ulang tahun pertama parti itu.
 
Anina antara lain turut mengkritik kepimpinan parti yang tidak memberikan hak kepada ahli untuk bersuara dan mendakwa parti itu kini telah tersasar dari perjuangan asal ditubuhkan sejak setahun lalu.
 
Turut mengikut jejak langkah Anina adalah Datuk Hamidah Osman yang pernah menjawat jawatan Naib Presiden PPBM.  


Tiada ulasan: