Isnin, 18 September 2017

ADUN PKR nafi cubaan dipancing untuk jatuhkan Azmin

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Exco Selangor Dr. Daroyah Alwi dari  PKR menafikan laporan bahawa lapan ADUN parti berura-ura keluar daripada parti untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
ADUN Sementa itu menegaskan, perkara seperti itu tidak akan berlaku dan sebarang cubaan untuk mengambil alih kuasa di Selangor seperti mana yang pernah berlaku di Perak hanya sia-sia. 
 
"Yang disebut lapan ADUN PKR Selangor akan sertai sidang media (semalam). Itu memang tak akan pernah berlaku dan terlintas difikiran kami. 
   
"(Apa yang berlaku di Perak) tidak akan berjaya untuk (dilakukan) di Selangor.  Tidak akan (berjaya)," katanya. 
 
Sebuah portal berita hari ini memetik sumber sebagai mendakwa lapan ADUN PKR semalam sepatutnya keluar parti untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan PKR. 
 
Sebaliknya hanya Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang keluar PKR untuk menyertai Umno. 
 
Daroyah yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga dalam kerajaan negeri berkata, beliau bersama-sama dengan semua ADUN Pakatan Harapan (PH) berdiri teguh dibelakang Azmin. 
 
"Sudah tentu, kita kekal dengan prinsip (untuk) bersama dalam perjuangan PKR. Walau apa pun yang akan menganggu-gugat, kita tetap teguh dengan prinsip perjuangan PKR bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipimpin oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah. 
 
"Dan di Selangor bersama Datuk Seri Azmin Ali. Itu kami tak berbelah bagi dalam hal tersebut," tegas beliau.    
 
Semalam Muhammad yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor mengumumkan keluar PKR kerana kecewa parti itu tidak mementingkan agenda perjuangan Melayu mahupun Islam.
 
Muhammad menyertai PKR pada tahun 2015 setelah dua tahun menyertai PAS.  
 
Beliau sebelum itu sekian lama bersama Umno di mana beliau memegang pelbagai jawatan termasuk Naib Presiden dan Ketua Penerangan parti.
 
 

Tiada ulasan: