Isnin, 28 Ogos 2017

William Leong Beri Amaran Kepada Azmin : Kerjasama Dengan PAS, PKR Hilang Selangor




LIHAT VIDEO DI SINI

Ahli Parlimen PKR Selayang, William Leong memberi amaran kepada Timbalan Presiden PKR, jika beliau mahu mahu meneruskan hasratnya untuk bekerjasama dengan PAS, berkemungkinan besar, PKR bakal kehilangan Selangor.

William menyamakan apa yang berlaku di kalangan pembangkang di Malaysia hari ini hampir sama dengan pemilihan Presiden Amerika Syarikat antara penyokong Demokrat Hillary Clinton dan Republikan Donald Trump tahun lepas.

Dalam pemilihan Presiden Amerika itu, Trump pada awalnya diramalkan kalah, namun Trump tetap menang apabila ramai penyokong Demokrat tidak keluar mengundi.

Dalam konteks Malaysia, tinjauan menunjukkan bukan Islam di negara ini tidak menyokong BN, tetapi ia tidak bermakna mereka akan mengundi PKR dalam pilihan raya nanti.

“Ini sama seperti Clinton. Mereka yang menyokong Demokrat tidak mengundi Trump, tetapi mereka tidak keluar mengundi (langsung). Trump masih akan menang.

“Saya rasa ada bahayanya jika kita terus mengecewakan rakyat sehingga membuat mereka berfikir tiada bezanya sama ada mereka mengundi atau tidak,” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Beliau berkata PAS kini sedang bersiap sedia untuk pertandingan pelbagai penjuru manakala PKR tidak berbuat demikian dan masih cuba berbincang dengan bekas sekutunya itu.

Sebagai sebuah parti politik, katanya, PAS sedang melakukan apa yang sepatutnya dilakukan, tetapi PKR tidak berbuat demikian kerana mahu terus memujuk PAS.

“Bayangkan anda mempunyai teman wanita yang mengatakan tidak. Berapa kali anda mahu teman wanita anda mengatakan tidak?” soalnya.

Bagi Selangor – satu-satunya negeri yang dikuasai PKR, PAS pula dilihat menjadi ancaman kepada Pakatan Harapan (PH) kerana ahli-ahli parti itu bukan sahaja menjadi sebahagian daripada pentadbiran negeri, tetapi juga di peringkat akar umbi.

“PAS bukan sahaja memegang tiga jawatan exco, mereka mempunyai jawatan dalam majlis tempatan dan jawatankuasa kampung,” tegasnya.

Dengan ini, tambahnya, PAS mempunyai kuasa, dana dan sumber, yang ia gunakan untuk memperkuat diri mereka.

Sebagai contoh, William menyebut bagaimana PAS menguasai sebahagian besar masjid dan surau di negeri itu.

“Kita ada ustaz kita, tetapi mereka tidak boleh masuk (ke masjid-masjid berkenaan), alasannya mereka bercakap mengenai politik, tetapi apa yang anda rasa yang dicakapkan oleh ustaz PAS?” soalnya.

Tambahnya, tinjauan menunjukkan PAS mempunyai sokongan sekitar 20 hingga 30 peratus daripada pengundi, tetapi ini tidak seharusnya menjadi asas untuk kerjasama PKR-PAS kerana PAS adalah halangan terhadap perubahan sebenar yang diperlukan oleh negara.

“Kita mesti bertanggungjawab terhadap masa depan kita. Jadi ramai rakyat kita turun ke jalanan untuk protes, berdepan dengan tangkapan, penjara dan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960). Mereka ini telah menunjukkan keberanian untuk mencari perubahan.

“Sekiranya kita tiba-tiba menjadi pragmatik dan mengikuti arus perdana, kita sebenarnya mengorbankan usaha semua orang-orang ini sejak tempoh 20 tahun yang lalu,” katanya.


Tiada ulasan: