Isnin, 14 Ogos 2017

TPM kecewa insiden kecoh Nothing to Hide 2.0

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan kesedihannya terhadap kekecohan forum 'Nothing to hide 2.0' anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam, semalam.
 
Timbalan Perdana Menteri berkata, kekasaran terhadap mana-mana individu atau tokoh tidak seharusnya berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.
 
"Kita harap demokrasi dapat diterjemahkan dengan sebaiknya di negara ini, walaupun mungkin kita berbeza pendapat.
 
"Polis tentunya sudah menjalankan tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan dan kita akan mengizinkan sebarang perjumpaan, pertemuan dan perhimpunan yang dibenarkan mengikut Akta Perhimpunan Aman termasuk majlis yang diadakan oleh sebuah parti pembangkang," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kongres Sedunia Persatuan Penyelidikan dan Kejuruteraan Alam Sekitar Hidro Antarabangsa (IAHR) Ke-37 di sini, hari ini.
 
Semalam, Forum 'Nothing to Hide 2.0' anjuran Armada PPBM bertukar kecoh ketika Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjawab soalan berhubung tragedi Memali yang berlaku pada 1985.
 
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, polis akan menjalankan siasatan, mengambil tindakan dan melakukan pendakwaan jika terdapat kesalahan.
 
Mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa serangan itu dilakukan oleh kumpulan dalam Umno sebagai usaha mensabotaj forum berkenaan, Ahmad Zahid berkata polis akan melakukan siasatan terperinci.
 
 

Tiada ulasan: