Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Pemuda PAS Kelantan meminta Presiden Amanah, Mohamad Sabu
menentukan kerusi yang akan ditandingi partinya dalam PRU14 terlebih
dahulu sebelum mendakwa parti lamanya akan kehilangan sokongan.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata demikian menyanggah dakwaan
Mohamad, atau dikenali Mat Sabu bahawa ada ahli-ahli PAS yang tidak akan
menyokong parti itu, sebaliknya akan memberi undi kepada parti
pembangkang yang lain.
"Beliau (Mat Sabu) jaga parti sendiri terlebih dahulu dan pastikan ada
kerusi untuk dipertandingkan dalam pilihan raya akan datang.
"Bimbang nanti mereka tak diberikan sebarang kerusi hasil dari
rundingan bersama parti-parti besar dalam pembangkang," katanya kepada
Antarapos, hari ini.
Mat Sabu pada hari ini mendakwa PAS akan hilang undi di kalangan
ahli-ahlinya apabila mereka beralih sokongan kepada parti pembangkang
yang lain.
Bekas naib presiden PAS itu juga berkata parti yang dipimpin Datuk Seri
Abdul Hadi Awang itu semakin tidak tentu arah, selepas menyatakan
kesediaan bekerjasama dengan Umno BN dalam isu-isu rakyat.
Fadhli dalam pada itu menyifatkan kenyataan Mat Sabu tidak memberi kesan kepada ahli-ahli, termasuk kepimpinan PAS di Kelantan.
"Kami tidak melihat kenyataan itu sebagai ancaman, apatah lagi ia
dikeluarkan oleh orang yang ditolak oleh ahli-ahli PAS dalam pemilihan.
"Sangat tidak munasabah untuk beliau beri pandangan bagi pihak PAS," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan