Rabu, 16 Ogos 2017

'Tak perlu wayang tangkap tapi tak didakwa'

 

PKR mengalu-alukan tangkapan Tan Sri Isa Samad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam walaupun beranggapan tindakan itu sepatutnya diambil lebih awal lagi.

Naib presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin bagaimanapun menegaskan tangkapan sahaja tidak cukup dan Isa harus dihadapkan ke muka pengadilan susulan dakwaan skandal dalam Felda Investment Corporation (FIC)

“Sekiranya mempunyai bukti yang kukuh dan prima facie, beliau sewajarnya didakwa untuk menunjukkan bahawa PM benar-benar serius memerangi rasuah walaupun beliau sendiri terpalit dengan skandal 1MDB dan lain-lain,” katanya.

Isa yang juga veteran Umno ditahan selepas hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM di ibu pejabat agensi terbabit di Putrajaya. SRPM juga menyerbu rumahnya di Selangor.

Isa, yang berundur daripada FGV dan dilantik sebagai pemangku Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), sejak empat tahun lalu mempertahankan urus niaga FIC itu.

Kata Isa, pembelian hotel di London itu tidak bertentangan dengan perniagaan teras syarikat perladangan itu.

Dalam kenyataan hari ini, Shamsul juga mengingatkan kerajaan “tidak bermain wayang dengan membuat siri tangkapan tanpa diheret ke muka pengadilan”.

“Rakyat sudah muak dengan tangkapan tanpa tuduhan,” katanya.

Beliau juga berharap isu kerugian syarikat lain Felda seperti FGV juga mendapat perhatian SPRM supaya “dalang yang merugikan FELDA dan penerokanya” dikenal pasti.

FIC membeli Grand Plaza Service Apartments bernilai £115 juta (RM586.5juta) selepas melabur dalam lapan hotel sebelum itu.

Pada 27 Mei 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low memberitahu siasatan awal SPRM tidak menemui apa-apa asas kesalahan berhubung dakwaan penyelewengan pembayaran RM538 juta oleh FIC untuk membeli sebuah hotel mewah di London.

Bagaimanapun pada 14 Julai lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan pembelian hotel itu dibuka semula ekoran ada maklumat baru mengenainya.

Tiada ulasan: