Khamis, 17 Ogos 2017

Tak akan Najib tak tahu Isa Samad bermasalah?


Roketkini.com

GELANG PATAH: Pelantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terus dipertikai berikutan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seharusnya tahu bahawa bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) itu bermasalah sebelum memutuskan memilih Isa Samad untuk mengisi jawatan tersebut.

“Najib pasti menerima banyak rungutan mengenai kegiatan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah membabitkan Isa Samad, bukan sahaja berkaitan pembelian hotel di London dan Kuching, malah pembelian hartanah oleh Felda dan FGV.

“Mengapa Najib tetap meneruskan pelantikan Isa Samad sebagai Pemangku Pengerusi SPAD apabila yang sepatutnya dilakukan Najib adalah membiarkan siasatan dilaksanakan bagi menentukan sama ada Isa Samad benar-benar melakukan kesalahan tersebut.

“(Malah) Bagaimana dengan jawatan Pengerusi SPAD yang ketika ini dipangku Isa Samad berikutan penahanannya oleh SPRM?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam kenyataan, hari ini.

Beliau justeru menggesa Najib agar menjelaskan kepada rakyat berhubung keputusannya untuk tetap melantik Isa Samad dalam jawatan tertinggi SPAD walaupun Menteri Kewangan itu sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat mengenai salah laku pemimpin UMNO itu.

Isa Samad dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi permohonan reman oleh SPRM susulan siasatan badan itu terhadap pembelian dua hotel di London dan Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC) yang merupakan anak syarikat FGV.

SPRM sedang menyiasat pembelian hartanah oleh FIC di Kensington, London antara 2013 dan 2015 dengan jumlah £60 juta (RM330 juta) iaitu di bawah harga pasaran pada masa pembelian yang dikatakan berjumlah RM110 juta. – Roketkini.com


Tiada ulasan: