Rabu, 16 Ogos 2017

Syed Azman tak patut ingkar dan langgar arahan PAS tak terlibat dengan Amanah, kata Che Abdullah

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menyertai program anjuran Pakatan Harapan terutama Parti Amanah Negara (Amanah) melanggar disiplin PAS, kata Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
 
Beliau menegaskan supaya semua ahli PAS mematuhi ketetapan parti berkenaan untuk tidak menyertai mana-mana program anjuran Amanah.
 
"Keputusan ataupun arahan yang dibuat oleh parti adalah jelas supaya semua pemimpin PAS tidak terlibat dengan program Amanah.
 
"Sesiapa sahaja tidak semestinya YB Dr Syed Azman yang melanggar arahan parti maka dia sudah dikira melanggar arahan parti," katanya kepada Antarapos.
 
Che Abdullah berkata sebagai ahli parti itu mereka perlu patuh segala ketetapan parti dengan tidak sesekali melanggar arahan untuk menyertai parti yang diasaskan bekas pimpinan PAS itu.
 
"Cuma tinggal lagi parti sama ada nak mendiamkan tidak mengambil tindakan atau nak memberi amaran atau mengambil tindakan terpulang kepada parti dan saya cukup yakin ia dalam perhatian," katanya.
 
Sebelum ini, pimpinan PAS Terengganu mempersoalkan tindakan Syed Azman yang sering dilihat hadir ke program anjuran Pakatan kebelakangan ini. 
 
Tindak-tanduk Syed Azman juga dikritik setelah dianggap mirip dengan tindakan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang turut aktif hadir ke program yang dianjurkan Amanah mahupun Pakatan.
 
Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Husin Awang menganggap tindakan Syed Azman 'berjinak' dengan Amanah tidak akan menjejaskan parti itu sama sekali.
 
Ahli PAS tolak pemimpin tidak setia
 
Mengulas lanjut, Che Abdullah yang juga ADUN Wakaf Baru berkata tindakan disiplin boleh dikenakan terhadap Syed Azman kerana ia jelas menunjukkan perbuatan ingkar dan melanggar disiplin parti.
 
"Maknanya bila melanggar arahan dan melanggar disiplin parti  maka ia terserah kepada keputusan parti sama ada untuk ambil tindakan, memberi amaran dan sebagainya.
 
"Ia terpulang kepada parti atas kebijaksanaan pimpinan dan melihat kepada situasi yang berlaku termasuk melihat untung rugi kepada parti," katanya.
 
Katanya, tindakan Syed Azman itu merupakan contoh yang tidak baik kepada parti kerana menjejaskan imej parti.
 
"Kadang-kadang dengan cara kita biar sahaja ia akan hilang atau hanyut dengan sendiri.
 
"Maknanya rakyat, ahli dan kita boleh lihat daripada pertandingan parti dulu mana-mana ahli yang tidak memberikan kesetiaan kepada parti ditolak oleh perwakilan," katanya.
 
Justeru Che Abdullah berkata anggota PAS akan menilai tindakan Syed Azman yang banyak kali mengingkari arahan parti.
 
"Jadi ahli sedang memerhati walaupun parti tidak mengambil tindakan disiplin tapi ahli sendiri akan mengambil tindakan terhadap pemimpin yang khianat kepada perjuangan," katanya.
 
 

Tiada ulasan: