Ahad, 27 Ogos 2017

Selesaikan kemelut PKR dengan kongres khas

MALAYSIAKINI


Di tengah suasana tidak menentu PKR, salah seorang naib presidennya mencadangkan parti itu mengadakan kongres khas peringkat kebangsaan bagi memutuskan sama ada mereka perlu terus berunding dengan PAS atau tidak.

Kata Rafizi Ramli, ketika ini wujud dua kumpulan saling bertentangan dalam parti itu dan masing-masing membawa pendapat berbeza mengenai cara bagaimana PAS perlu ditangani.

Katanya, kewujudan dua kumpulan berbeza pendapat itu mengelirukan akar umbi kerana ada antara mereka turut memegang jawatan kanan di peringkat Pakatan Harapan (HARAPAN).

Keadaan itu, kata Rafizi, sudah berlaku sejak pertengahan 2015 dan dikhuatiri akan memberi kesan kepada persedian gabungan berkenaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Pembahagian pimpinan mengikut pendapat masing-masing sebegini berlaku dari peringkat biro politik ke MPP (Majlis Pimpinan Pusat), hinggalah ke peringkat akar umbi.

"Oleh yang demikian, sampai masanya (persoalan kerjasama dengan PAS) diputuskan secara menyeluruh mengikut perlembagaan parti supaya jalan buntu itu diselesaikan mengikut kaedah terbaik, iaitu demokrasi.

"Saya mengesyorkan kongres khas kebangsaan diadakan dengan segera untuk memutuskan perkara ini dengan melibatkan pengundian perwakilan cabang-cabang PKR dari seluruh negara seperti yang diperuntukkan perlembagaan parti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu rundingan antara PKR dan PAS ini muncul secara terbuka baru-baru ini selepas Datuk Seri Azmin Ali mengesahkannya. Bagaimanapun kata timbalan presiden itu rundingan berkenaan berlangsung secara tidak rasmi.

Keadaan itu terjadi selepas PAS memutuskan secara muktamad bahawa kerjasama politik yang dijalin sejak PRU ke-12 dulu ditamatkan.
Azmin juga menegaskan perbincangan itu bukan inisiatifnya sendiri, sebaliknya hanya mewakili PKR.

Pada masa sama ramai pemimpin PAS membuat kenyataan terbuka enggan berhubung dengan mana-mana parti yang ada kaitan dengan dua musuh ketat mereka ketika ini - DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Kuasa atau prinsip

PAS juga sudah melancarkan jentera pilihan raya untuk cuba merampas kerusi parlimen Permatang Pauh yang kini diwakili Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut disasarkan ialah kerusi Azmin sendiri di Gombak, dan Batu serta Lembah Pantai, masing-masing diwakili naib presiden PKR iaitu Tian Chua serta Nurul Izzah Anwar.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali pula menegaskan partinya tidak akan mengadakan rundingan kerjasama politik dengan PKR walaupun atas nama peribadi.

Menjelaskan lagi tentang dua kumpulan berkenaan, Rafizi berkata, ia terbahagi antara kumpulan pragmatik dan percaya kepada prinsip.

Katanya, satu kumpulan berpendapat keutamaan tertinggi parti ialah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor, manakala satu lagi berpandangan PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk terus membela rakyat melalui gabungan pembangkang berpandukan keadilan sosial dan merangkumi semua pihak.

"Kumpulan ini meletakkan tanggungjawab itu mengatasi kepentingan memenangi kerusi kerana prinsip dan rekod perjuangan adalah lebih penting daripada pragmatisme politik untuk berkuasa semata-mata.

"Kemenangan yang menampakkan PKR sanggup mengorbankan prinsip perjuangan akan menyebabkan PKR dilihat tidak berbeza dengan Umno atau parti-parti lain," katanya.

Dalam kenyataan itu juga Rafizi menyenaraikan sejumlah nama yang didakwanya menyokong usaha untuk terus berunding dengan PAS ialah Tian Chua, Shamsul Iskandar Md Akin, Xavier Jeyakumar dan Dr Shaharuddin Badaruddin.

Pemimpin lain termasuk Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, anggota Biro Politik PKR R Sivarasa, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi).

Pemimpin yang tidak bersetuju untuk berunding dengan PAS dan mahu PKR meneruskan komitmen dengan HARAPAN ialah Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution, Nik Nazmi Nik Ahmad (Ketua Pemuda), Datin Tan Yew Kew (Bendahari), Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan), Datuk Johari Abdul (Ketua Whip PKR) dan William Leong.


Tiada ulasan: