Khamis, 17 Ogos 2017

Sekolah agama persendirian digalak terap kokurikulum

ANTARAPOS.COM

Jamil Khir Baharom
Datuk Seri Jamil Khir Baharom


YAN - Sekolah-sekolah aliran agama persendirian di seluruh negara digalakkan  menerapkan aspek kokurikulum khususnya sukan dalam kalangan pelajarnya sebagai nilai tambah sebelum  mereka memasuki alam pekerjaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata penglibatan pelajar-pelajar terbabit dalam aktiviti sukan juga dilihat berupaya membuka ruang melahirkan atlet sukan.

"Aspek kokurikulum sekolah agama ini...kita masih lagi menggalakkan...sebab kadang-kadang kawasan terhad di sekolah, tidak mempunyai padang atau dewan permainan, yang menjadi faktor kekangan kokurikulum tidak menjadi subjek tumpuan pihak sekolah.

"Namun di peringkat kerajaan dan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), kita adakan sukan peringkat kebangsaan untuk sekolah-sekolah agama, sebab nak tonjolkan supaya ada kesedaran untuk pelajar beriadah dan bersaing dalam sukan, sekali gus mengajak sekolah-sekolah untuk terlibat dalam melahirkan atlet-atlet sukan di peringkat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Sekolah Pondok Berdaftar dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Zon Utara 2017 di Pejabat Agama Daerah Yan, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha dan Mufti Negeri Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata sehingga kini masih banyak sekolah-sekolah aliran agama persendirian yang belum berdaftar menyebabkan bantuan sewajarnya tidak dapat disalurkan oleh kerajaan.

"Saya tidak pasti alasan mereka, mungkin pihak pengurusan tidak begitu prihatin, atau mereka mempunyai dana mencukupi, atau mungkin juga tiada dana yang cukup tetapi disebabkan tidak memahami keadaan, menjadi faktor mereka tidak berdaftar dengan kerajaan negeri masing-masing," katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Jamil Khir turut menyerahkan peruntukan bantuan berjumlah RM10,184,000 kepada 18 sekolah pondok berdaftar dan 26 SMAR di negeri Kedah serta bantuan berjumlah RM2,399,000 kepada empat sekolah pondok berdaftar dan tujuh SMAR di Pulau Pinang.

Bantuan itu termasuk dalam peruntukan RM50 juta bagi tujuan pembangunan SMAR dan sekolah pondok serta RM30 juta untuk pembangunan sekolah tahfiz di seluruh negara yang diumumkan dalam Bajet 2017, ke arah peningkatan mutu pendidikan masing-masing. - Bernama

Tiada ulasan: