Selasa, 15 Ogos 2017

PRU14: Pas akan jadi kuda tunggangan jika bersama PH, selar Khairuddin

MALAYSIA DATELINE

 


Sebarang kerjasama pilihan raya antara Pas dan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) akan sekali lagi menjadikan jentera pilihan raya Pas sebagai kuda tunggangan, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman facebook, Dr Khairuddin mengakui negara perlu diselamatkan daripada pelbagai kerosakan ekonomi, politik dan sosial namun PH bukan wadah untuk menyelesaikan masalah negara berasaskan Islam.

"Sebarang perbincangan kerjasama pilihan raya yang kononnya untuk menjatuhkan BN hakikatnya hanya untuk menyelamatkan kerusi parti tertentu dengan menjadikan jentera pilihanraya Pas sekali lagi kuda tunggangan seperti mana yang berlaku dalam Pakatan Rakyat," ujarnya.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung rundingan dengan Pas bagi menghadapi pilihan raya umum.

Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan dalam sidang media semalam tidak menolak pertemuan itu berlaku dan turut berkata, PKR masih membuka pintu kerjasama dengan Pas untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, melalui perbincangan tidak rasmi Pakatan Harapan dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun kenyataan Azmin seusai mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan itu mendapat reaksi berbeza daripada beberapa pimpinan parti dalam gabungan Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Dr Khairuddin yakin sekiranya PH memenangi  pilihan raya akan datang, agenda Islam sekali lagi akan dikesampingkan.

"Apabila mereka berjaya memenangi kerusi sekali lagi agenda Islam akan ditendang dan diperangi.Pas akan diserang lagi dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan," ujarnya.

Justeru katanya lagi, Pas akan terus komited mencanangkan kepada rakyat penyelesaian Islam menerusi 'Budaya Politik Matang Sejahtera' dan dokumen 'Wawasan Induk Negara Sejahtera'.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat itu, ucapan dasar Abdul Hadi dalam muktamar lalu bertajuk "Sejahtera Bersama Islam" sedang dihayati oleh ahli dan pemimpin Pas di semua peringkat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, foto presiden PKR Datuk Seri Dr  Wan Azizah Ismail,  Azmin dan naib presiden Dr Shaharuddin Badaruddin menziarahi Abdul Hadi pada 12 Ogos lalu menjadi viral setelah dimuat naik di laman facebook Abdul Hadi dengan status: "Menerima kunjungan ziarah oleh pimpinan PKR pada malam ini di Kuala Lumpur".

Sebagai rekod, Pas pada Mei lalu secara rasmi menamatkan semua hubungan dan kerjasama dengan PKR, apabila Majlis Syura parti itu memutuskan langkah itu perlu untuk mempertahankan 'agenda Islam' parti itu.

Tiada ulasan: