Jumaat, 18 Ogos 2017

Pintu rundingan dengan PKR, Bersatu mungkin dibuka kembali: Pemuda PAS


ISMA WEB
 


KOTA BHARU – Pintu rundingan dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) bersama PAS mungkin boleh diwujudkan kembali.

Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, cadangan itu dibuat susulan tindakan PKR yang mengekalkan lantikan politik di Kelantan.

Bagaimanapun, ianya hanya boleh berlaku dengan syarat tidak melibatkan DAP dan PAN.

“Saya secara peribadi mencadangkan (membuka) pintu rundingan dengan PKR dan Bersatu, syarat yang paling penting ialah tidak berkaitan dengan DAP dan PAN. Saya optimis dengan perkara tersebut,” katanya.

Semalam, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir mengesahkan 67 lantikan politik PKR di Kelantan dikekalkan dalam satu tempoh yang tidak dinyatakan.

Aziz berkata, keputusan yang dibuat Mesyuarat Biro Politik Pusat itu berdasarkan alasan keperluan kerjasama parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri sebagaimana yang telah dinyatakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Fadhli yang juga Naib Ketua Pemuda Pas Pusat merakamkan tahniah kepada kepimpinan PKR negeri ini dalam mengekalkan lantikan politik mereka di Kelantan.

Katanya, tindakan itu melambangkan kematangan parti itu dalam membuat keputusan yang tepat untuk perjuangan menjelang PRU14.

Malah, katanya, keputusan itu juga membuktikan yang PKR tidak menjadi ‘pak turut’ kepada parti-parti lain dalam Pakatan Harapan yang sudah pastinya menekan mereka dalam isu tersebut.

Lantikan politik PKR Kelantan melibatkan Penyelia Dun, Penyelia Parlimen, Anak syarikat GLC, Penghulu dan Ahli Majlis.


Tiada ulasan: