Selasa, 15 Ogos 2017

Pengundi muda Felda sedar BN tabur dedak

ARIF ATAN




Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menegaskan kesedaran masyarakat tanah rancangan itu menolak Umno-BN pada pilihan raya akan datang semakin meningkat.

Menurutnya, hal tersebut paling ketara wujud dalam kalangan generasi muda Felda apabila golongan tersebut menyedari Umno-BN hanya menabur 'dedak'.

"Memang strategi BN dari dulu menabur dedak dan janji kepada peneroka setiap kali menjelang pilihan raya.

Oleh kerana peneroka susah, kaedah ini berkesan menjinakkan peneroka.

"Ditambah dengan pujuk rayu dan sentimen beruntungnya peneroka seperti mendapat 10 ekar tanah dan kediaman. Namun, dedak dan janji BN sudah tidak relevan khususnya bagi pengundi muda," ujar Ahli Jawatankuasa Kerja AMANAH Nasional itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob baru-baru ini bahawa sokongan warga Felda terhadap BN tidak akan terjejas selagi pemberian insentif diteruskan.

Walaupun begitu, Pengerusi BN Pahang itu dipetik tidak menolak kemerosotan sokongan generasi muda Felda terhadap parti tersebut.

Selanjutnya, Mazlan berkata, generasi kedua dan ketiga Felda mempunyai akses maklumat dan semakin berminat untuk mengetahui pelbagai isu berkaitan Felda.

"Anak muda adalah golongan majoriti yang akan mengundi manakala jumlah peneroka semakin mengecil. BN bimbang dengan kesedaran golongan muda ini apatah lagi mereka sedar bapa mereka ditindas walaupun ada 10 ekar tanah.

"Saya penuh yakin dengan pelbagai skandal dan kemelut di Felda, masyarakat Felda kian sedar, mereka hanya diperalatkan oleh BN," tegasnya lagi ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Sementara itu, tinjauan Malaysia Dateline di Felda Trolak Timur, Tanjung Malim dan Felda Gedangsa, Hulu Selangor baru-baru ini mendapati rata-rata generasi kedua dan ketiga tanah rancangan itu tidak berpuas hati isu projek Perumahan Generasi Baharu Felda.

Tiada ulasan: