Khamis, 17 Ogos 2017

Pemuda Umno perlu bawa politik hujah bukan retorik - Fathul Bari

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Umno-Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan pendekatan politik tunjang (substance) bagi menarik sokongan generasi muda sekaligus meraih undi golongan ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Exco Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya.
 
Jelas beliau, Umno-BN kekal konsisten dan jelas hala tujunya kerana pencapaian yang mendapat sokongan padu dalam pentadbiran seterusnya diterjemahkan kepada rakyat melalui program-program yang dilaksanakan.
 
"Penekanan yang saya kira dapat menarik pengundi muda pada hari ini adalah politik substance.
 
"Maknanya politik yang ada hujah, ada fakta dan politik yang impliment apa yang telah diperincikan kepada rakyat sebelum ini, itu yang orang nak tengok," katanya kepada Antarapos.
 
Menurut Fathul Bari, pengundi muda yang akan memainkan peranan yang penting pada PRU14 lebih cenderung kepada politik matang bukan politik retorik.
 
"Sebab itu saya kata substance, maknanya kita ada sesuatu yang kita boleh sampaikan kepada mereka.
 
"Apa yang telah kita buat dan apa yang sedang kita lakukan adapun politik retorik ini benda yang tidak selesaikan sebarang masalah dan tak akan mampu untuk menarik sokongan pun," katanya.
 
Pemuda Umno-BN perlu elak politik retorik
 
Justeru beliau menegaskan sayap pemuda perlu mendekati serta mendamping pengundi muda dengan membawa 'perwatakan' politik tunjang dalam usaha memikat hati golongan berkenaan.
 
"Jadi sebab itu saya katakan kita kena bawa perwatakan politik substance dengan kita berhujah, kita memberikan fakta dan kita menjawab dengan fakta dan bukti.
 
"Sebab itu saya menyokong tindakan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) kita ada laman web Sebenarnya.my yang jelas memberikan penjelasan yang tuntas sebab sekarang zaman media sosial ini viralnya maklumat-maklumat tanpa sempadan, tanpa batasan dan sebagainya," katanya.
 
Mengulas lanjut Fathil Bari berkata kelebihan berpihak kepada BN untuk memenangi PRU14 dan pengundi muda wajar terus menyokong agar ia dapat melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
 
"Jadi kita kena kembali perbetulkan semula cara berfikir anak-anak muda pada hari ini dengan berfikir dan menjawab sesuatu dengan bukti dan juga fakta.
 
"Dengan cara ini kita dapat menarik respons anak-anak muda," katanya.
 
Selain itu beliau juga menggesa agar pimpinan parti semua peringkat tidak menggunakan pendekatan politik retorik kerana ia tidak menjamin sokongan pengundi.
 
"Kalau kita masih lagi dalam politik retorik atau masih lagi dalam politik kita nak keluar ramai, pergi sana sini dan berseronok ia mungkin dapat menarik sebahagian daripada golongan sasar.
 
"Akan tetapi kita tidak ada substance yang kuat sebab itu bila mempromosikan politik matang bererti politik yang substance atau politik hujah," katanya
 
 

Tiada ulasan: