Sabtu, 12 Ogos 2017

PAS sambut baik niat Azmin, namun rundingan perlu untungkan Islam - Hashim

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS masih membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti dalam percaturan mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, dengan syarat kerjasama yang terjalin menguntungkan Islam.
 
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, sungguhpun partinya tiada lagi hubungan tahaluf siyasi dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH), namun rundingan masih boleh dijalankan atas konsep taawun. 
 
"Sekarang ini kita tidak tutup pintu rundingan walaupun kita dah putus tahaluf dengan parti PKR dan juga parti lain. Tetapi pintu rundingan berjalan. Jadi cuma keputusan daripada rundingan itu mestilah memberi keuntungan kepada Islam. Itu syarat yang PAS hendakkan," katanya kepada Antarapos hari ini.
 
Terdahulu hari ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) menyatakan kesediaan untuk berunding dengan PAS dalam mendepani PRU14 akan datang.
 
Menurut Azmin, tindakan itu penting supaya tiada pertembungan sesama pembangkang memandangkan PAS kini bukan sebahagian daripada gabungan berkenaan.
 
Dalam pada itu, Hashim berkata meskipun tahaluf sudah terputus namun PAS sentiasa membawa konsep taawun dalam konteks kerjasama dengan parti lain.
 
"Banyaklah orang keliru antara taawun dengan tahaluf tetapi kita ada panduan yang terang dan jelas dalam konteks kerjasama berpolitik," tambahnya.
 
Pertandingan tiga penjuru dalam PRU14 dijangka akan berlaku berikutan keengganan PAS bersama parti pembangkang yang lain. 
 
PAS sebelum ini berulang kali menegaskan ia tidak akan menyertai Pakatan Harapan ataupun BN sebaliknya sedang memperkasakan blok pembangkang ketiga, Gagasan Sejahtera  bagi menghadapi PRU14.
 
 

Tiada ulasan: