Ahad, 13 Ogos 2017

PAS nafi semakin 'berlembut' perihal isu 1MDB - Tuan Ibrahim

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: PAS menafikan parti itu semakin 'berlembut' bersabit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), susulan tindakannya mengundang Ketua Pegawai Eskekutif (CEO) syarikat berkenaan, Arul Kanda Kandasamy untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan. 
 
Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS konsisten menentang sebarang penyelewengan dana namun tindakan mengundang Arul untuk memberi penjelasan adalah pendekatan terbaik berbanding berterusan menghentam syarikat berkenaan. 
 
"Kita tahu 1MDB ini satu bencana bagi negara kita. Cuma apa pilihan yang dia ada, apa yang 1MDB ada.  Semua tahu dia terpaksa jual asetnya, dia tiada pilihan lain. Dalam perbincangan tersebut, pelan rasionalisasi dia (Arul) tunjuk kepada kita tapi kita boleh kata tidak. Tapi apa penyelesaiannya?," katanya dalam sidang media selepas program Munaqasyah di sini hari ini.
 
Kata beliau lagi, sungguhpun Arul memberikan penjelasan khususnya berkaitan pelan rasionalisasi syarikat berkenaan, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diberi penekanan.
 
"Kita tak setuju beberapa perkara. Bila diletak di bawah Kementerian Kewangan, tak mustahil dana negara akan disalur. Sebab itu ada beberapa perkara kita tak setuju. Bagi PAS, kita kata pertamanya aset mesti dipantau parlimen. Kedua, RCI mesti dibentuk. Bukan maknanya kita puas hati dengan pelan atau penjelasannya," kata beliau.
 
Justeru beliau mengulangi desakan PAS berhubung keperluan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani kemelut yang melanda syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
 
"Kita tetap menentang penyelewengan dana, kita terus tentang. PAS kita nak jumpa supaya disegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dicadangkan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang).
 
"Kita tetap dengan idea itu. Itu bukan kita berlembut. Pendekatan kita tak hentam. Kalau hentam, ada penyelesaian? Sekarang kita jumpa, kita dengar apa masalah dia. Bagi kita, ruang itu perlu diberi dan pemantauan perlu dibuat,"ujarnya.
 
PAS baru-baru ini mengundang Arul untuk memberi penjelasan berkaitan isu syarikat pelaburan strategik tersebut, khususnya pelan pemulihannya.
 
Dalam perjumpaan tertutup selama lebih tiga jam yang disertai kira-kita 30 AJK PAS Pusat itu, Arul turut menunjukkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB kepada mereka.
 
Turut menghadiri perjumpan tertutup itu adalah tokoh jemputan antaranya bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
Susulan pertemuan antara PAS dengan Arul itu, Pakatan Harapan (PH) membangkitkan persoalan mengapa mereka tidak sama diberikan penjelasan dan penerangan oleh tokoh berkenaan. 
 
Menjawab isu tersebut, jelas Tuan Ibrahim, ini kerana undangan terhadap Arul adalah undangan rasmi parti kepada tokoh itu.
 
"Kami tulis surat rasmi (kepada) Arul," katanya.
 
 

Tiada ulasan: