Rabu, 16 Ogos 2017

PAS Kedah nafi pertimbang kerjasama dengan PH

 
 
Oleh Dr. Ahmad Fakhrudin bin Sheikh Fakhrurazi

1. Setelah meneliti beberapa kenyataan politik yang dilontarkan mutakhir ini, PAS Kedah mendapati bahawa sama ada suara kepimpinan UMNO yang kelihatan lunak dengan PAS, ataupun kenyataan keras yang sering ditujukan kepada PAS dari kelompok PH adalah bertujuan untuk mengelirukan rakyat serta percubaan menghakis keyakinan ahli-ahli PAS terhadap kepimpinannya. Dalam waktu yang sama kedua-dua blok politik tersebut berusaha merebut sokongan ahli dan penyokong PAS yg kini semakin dominan di kalangan masyarakat Melayu.

2. Menjadi satu jenaka apabila terdapat satu tulisan dalam portal maya menyatakan bahawa PAS Kedah menimbang kerjasama dengan PH, sedangkan sosok PH itu masih dibelengu dengan pelbagai persoalan seperti persediaan jentera, jumlah cawangan parti komponen, kekuatan akar umbi dan status pendaftarannya yang masih kabur. Kenyataan beberapa pemimpin parti komponennya yang sering bercanggah antara satu sama lain, menambahkan lagi kekalutan.

3. Saya berpendapat, PPBM Kedah perlu ada keberanian untuk menyatakan status kekuatan dan kedudukan mereka dalam menghadapi PRU14; kerana tidak dinafikan bahawa mereka juga mempunyai pengaruh di kalangan pengundi Melayu.

4. PAS Kedah konsisten berpendirian untuk memperkasakan blok Gagasan Sejahtera. Dengan kata lain, PAS tiada hubungan politik dengan mana-mana parti di dalam BN, mahupun PH. Ketegasan ini selaras dengan keputusan Majlis Syura Ulamak PAS untuk tidak mengadakan kerjasama politik dangan BN, DAP, PAN serta sekutu mereka.

5. Sehingga ke saat ini, kesediaan PAS Kedah untuk bertanding di semua kerusi sama ada DUN atau Parlimen kekal; namun terserah kepada PAS Pusat untuk membuat sebarang keputusan berhubung jumlah kerusi bagi PAS Kedah dalam menghadapi PRU14 nanti.

Dr. Ahmad Fakhrudin bin Sheikh Fakhrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah.

Tiada ulasan: