Rabu, 30 Ogos 2017

Nurul Izzah: Reformasikan sekolah untuk tangani buli

KEADILAN DAILY

nurul-izzah-putrajaya



Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar mencadangkan agar Putrajaya merangka satu dasar sebuah dasar antibuli bagi mengekang budaya itu di peringkat sekolah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menggagaskan perkara tersebut dalam reaksinya kepada kes seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang menjadi mangsa pembunuhan akibat dibelasah murid tahun enam di Kapit, Sarawak minggu lalu.

“Pekeliling SPI bil.8/ 2011 tentang Pengurusan Keselamatan di Sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia harus dikaji semula bagi menerapkan elemen antijenayah buli yang efektif dan berkesan.

“Begitu juga dengan Tatacara Disiplin Murid Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 yang dilihat tidak berkesan dalam menangani jenayah buli,” katanya dalam kenyataan.

Nurul Izzah berkata kes itu wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak.

“Ternyata, insiden buli yang menyayat hati ini (adalah) bukti terkini bahawa persekitaran sekolah di Malaysia membahayakan dan tidak selamat buat anak-anak kita,” katanya.

Menurutnya lagi, Perkara 19 dalam Konvensyen Hak bagi Kanak-kanak UNICEF, perlu dijadikan penanda aras bagi menangani permasalahan jenayah buli.

“Kerajaan tidak boleh terus menafikan dan berdiam diri dalam membela keselamatan murid-murid di sekolah.

“Tindakan kerajaan yang pasif dan seakan termangu-mangu perlu diberi nafas reformasi dalam menangani jenayah buli,” tambah beliau.

“Kes buli di Kapit juga melibatkan calon UPSR yang bakal menghadapi peperiksaan pada September ini.

“Jelas menunjukkan bahawa murid sekolah rendah seawal usia 12 tahun berpotensi menjadi pembuli,” kenyataan itu dipetik.



Tiada ulasan: