Rabu, 16 Ogos 2017

Najib kena jelaskan kenapa lantik Isa ke SPAD

 

ISA Samad tidak sepatutnya dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) jika beliau terpalit dalam kontroversi yang akhirnya menyebabkan ditahan pihak berkuasa anti jenayah, kata Lim Kit Siang, hari ini ini.

Ketua Parlimen DAP itu berkata Perdana Menteri Najib Razak perlu menjelaskan mengapa beliau melantik Isa ke SPAD selepas Isa meletak jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad pada Jun.

Penggal Isa sebagai pengerusi Felda tamat lebih awal pada Januari.

“Najib sepatutnya tahu Isa calon bermasalah untuk mana-mana jawatan tinggi kerana peranannya yang kontroversi sebagai pengerusi Felda dan FGV, membangkitkan isu mengenai integriti, pecah amanah dan salah guna kuasa.

“Najib bertanggungjawab terhadap rakyat Malaysia untuk memberi penjelasan bagaimana beliau boleh melantik Isa sebagai pengerusi SPAD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ISA dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini untuk dikenakan perintah tahanan reman, dengan memakai baju-T lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna oren.

Isa ditahan ketika hadir ke ibu pejabat SPRM untuk merekodkan keterangannya jam 2.40 petang semalam.

SPRM menyiasat Isa atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa dalam pembelian dua hotel di London dan Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC).

SPRM berkata ia mempunyai asas kukuh untuk menahan Isa dan sedang mempertimbangkan untuk membekukan semua aset miliknya.

FIC yang mempunyai kepentingan dalam hartanah, hospitaliti dan sektor gas dan minyak dikatakan membeli Hotel Park City bertaraf empat bintang di Kensington, London antara 2013 dan 2015, pada harga RM330 juta.

Ia kemudian dinamakan semula sebagai Grand Plaza Hotel. Difahamkan harga hotel itu melampaui harga pasaran iaitu RM110 juta.

FIC juga membeli hotel di Kuching, Merdeka Palace Hotel & Suites, pada 2014 dengan harga RM160 juta, dikatakan RM50 juta lebih mahal berbanding nilai sebenarnya

Lim berkata Najib sepatutnya membiarkan siasatan penuh terhadap Isa dijalankan terlebih dulu sebelum memutuskan sama ada beliau layak dilantik sebagai pemangku pengerusi SPAD atau tidak

Tiada ulasan: