Selasa, 29 Ogos 2017

Mustahil PAS kerjasama dengan PH, Zuhdi jawab kaji selidik Selangor

 
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Zuhdi Marzuki berkata kerjasama pilihan raya antara PAS dan PH tidak mungkin berlaku kerana mereka mahu menafikan peluang DAP di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.


zuhdi


PETALING JAYA: Pusat Penyelidikan PAS (PPP) hari ini berkata mustahil PAS akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan kerana mereka berhasrat untuk menyerang parti komponen gabungan pembangkang itu pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Pengarah PPP Mohd Zuhdi Marzuki berkata PAS mahu menafikan peluang DAP memerintah semula Pulau Pinang, dan mengalahkan DAP di beberapa kerusi Parlimen dan DUN di Perak dan Selangor.

“Oleh yang demikian, sekiranya DAP dan Amanah terus berada dalam PH, tidak mungkin akan berlaku ‘electoral pact’ dengan PAS,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau menjawab tinjauan yang dijalankan badan kaji selidik milik kerajaan negeri Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini, yang mendapati pembangkang berpeluang memenangi 7 negeri di Malaysia Barat, jika PH dan PAS bekerjasama menentang BN pada PRU14.

Timbalan Pengerusi IDE Datuk Mohamad Redzuan Othman berkata negeri yang berpotensi ditawan PH-PAS ialah Kedah, Perak, Melaka dan Pahang, selain Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasai pembangkang ketika ini.

Beberapa pemimpin pembangkang menuduh PAS mempunyai suatu bentuk kerjasama dengan Umno, kerana pertandingan pelbagai penjuru dikatakan hanya akan memberi manfaat kepada BN.

Zuhdi berkata 89 kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 lalu bilangan kerusi maksimum yang boleh dicapai PH sekiranya bergabung dengan PAS.

“Tiada kerusi lagi yang mampu ditambah oleh PH bersama PAS setelah sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu sampai ke tahap maksimum.

“Hanya satu cara sahaja untuk PH bersama PAS boleh memecah angka maksimum itu, iaitu dengan memperoleh majoriti sokongan pengundi-pengundi Melayu-Islam. Sokongan mereka tidak mungkin boleh diraih jika DAP dan Amanah bersama gabungan itu,” katanya.

Zuhdi dalam masa yang sama turut mengakui kemasukan PPBM ke dalam PH menambahkan peratus sokongan pengundi Melayu-Islam tetapi peratusnya sangat kecil.

“Sebaliknya kemasukan parti tersebut, yang dibarisi oleh golongan ultra-nasionalis Melayu termasuk ahli-ahli Perkasa, akan menyebabkan pengundi bukan Melayu lari dari PH untuk mengundi BN semula. Hasilnya kemasukan PPBM tidak akan memberi nilai tambah untuk kemenangan PH,” tegasnya.

Tiada ulasan: