Isnin, 14 Ogos 2017

Muhyiddin: ‘Sewel’ tuduh PPBM sabotaj majlis sendiri

 
Kekecohan di forum 'Nothing to Hide 2.0' semalam seolah ada niat mencederakan Dr Mahathir Mohamad, kata presiden PPBM.


muhyiddin-3


PETALING JAYA: Hanya orang sakit otak akan mencadangkan PPBM mendalangi pergaduhan yang berlaku di forum “Nothing to Hide 2.0” semalam, kata presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut menyifatkan dakwaan partinya merancang kekecohan itu, di mana selipar, kerusi dan suar dibaling ke arah Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak berasas.

“Ini majlis kami. Kami mahu anjurkannya dengan cara yang baik, yang boleh memberikan peluang dan kesempatan kepada Tun menjelaskan (soalan yang diajukan hadirin).

“Takkan kita nak merancang buat kekecohan dalam majlis sendiri? Orang yang mencadangkan perkara sebegitu ada sedikit sewel la, tidak rasional,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos hari ini berkata kekacauan yang tercetus pada forum Nothing to Hide anjuran PPBM semalam sebenarnya dirancang PPBM sendiri sebulan awal.

Menurutnya, kekecohan itu direstui Dr Mahathir sendiri.

Muhyiddin bagaimanapun menepis dakwaan itu sebagai “tidak boleh pakai”.

“Kalau kamu tanya saya, kamu tahu apa jawapannya,” kata bekas timbalan presiden Umno itu, kini timbalan presiden Pakatan Harapan.

Tiga remaja, berusia 17 hingga 19, ditahan susulan kekecohan yang meletus selepas Dr Mahathir menjawab soalan hadirin mengenai peristiwa Memali.

Peristiwa itu menyaksikan 14 orang kampung dan 4 anggota polis terbunuh dalam konfrontasi antara pihak berkuasa dan seorang penceramah agama di Kedah pada November 1985, semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Muhyiddin kecewa tentang “tindakan biadab dan tidak menghormati undang-undang” yang ditunjukkan di forum Nothing to Hide 2.0 semalam.

Beliau berkata ia menunjukkan sikap tidak bertoleransi dan menghormati pihak tertentu terhadap majlis yang diadakan untuk memberi penerangan tentang hal ehwal negara.

“Kami yakin tindakan ini diaturkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, yang sengaja nak menimbulkan huru-hara dan nak menunjukkan apa sahaja program yang disusun oleh PPBM atau PH tidak harus dibiarkan.

“Saya rasa agak kecewa di waktu perkara ini berlaku – baling selipar, suar, kerusi dan lain-lain – terhadap Tun macam ada niat nak mencederakan beliau sedangkan kita tahu beliau menyambut baik pertanyaan.”

Ketika ditanya sama ada Pemuda PPBM gagal memastikan keselamatan acara tersebut, Muhyiddin berkata peristiwa yang berlaku sesuatu yang tidak terduga.

Beliau bagaimanapun akui mereka harus lebih berhati-hati di masa depan.

“Kami dalam parti politik ini tidak ada kemahiran untuk kenal siapa orang baik, siapa orang jahat,” kata Muhyiddin, sambil menggesa pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dan memastikan kejadian yang sama tidak berulang.

Muhyiddin berkata pemimpin PH tidak takut dan akan terus mendidik masyarakat tentang kegagalan kerajaan BN.

Tiada ulasan: