Isnin, 28 Ogos 2017

‘Mengapa Najib? Tiada wanita untuk ketuai majlis penasihat wanita?’

 
Ahli Parlimen DAP Kasthuri Patto tertanya-tanya mengapa pengerusi dan timbalan majlis pemerkasaan wanita ialah lelaki.


kasthuri-3


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto mempertikaikan pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pengerusi sebuah majlis penasihat di badan kerajaan baharu yang ditugaskan untuk pemerkasaan wanita di sektor korporat.

Beliau berkata jawatan itu sepatutnya diberikan kepada pemimpin wanita yang berkelayakan.

Wakil rakyat DAP itu berkata hasrat kerajaan persekutuan meningkatkan bilangan wanita di kedudukan pembuat keputusan tercemar dengan “perebutan kuasa” di Akademi Inovasi Wanita (Akademi MyWin) Jabatan Perdana Menteri.

Pada Jumaat, Najib dijemput pengasas bersama dan presiden MyWin Tan Sri Shahrizat Jalil untuk menjadi pengerusi majlis penasihatnya. Pendidik Tan Sri Lim Kok Wing dilantik timbalan pengerusi.

“Bagaimana kerajaan mahu memastikan wanita memegang jawatan pembuat keputusan sedangkan perdana menteri sendiri mengambil jawatan itu?” soal Kasthuri.

“Tidak cukup dengan itu, pemegang jawatan timbalan pengerusi majlis penasihat itu juga seorang lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Adakah Najib cuba katakan tiada pemimpin wanita yang layak, bijak dan berani dalam Kabinet yang boleh menerajui majlis itu?”

Beliau berkata tidak logik kalau Najib mempengerusikan majlis di bawah Jabatan Perdana Menteri itu kerana ahli akademi atau badan bukan kerajaan wanita boleh memimpin majlis itu.

Kasthuri berkata Najib juga pada 2012 mengambil peranan menteri pembangunan wanita, menggantikan Shahrizat apabila tempoh jawatan senator beliau tamat.

Di majlis pelancaran MyWin Jumaat lalu, Najib berkata akademi itu akan menamakan syarikat-syarikat tersenarai yang tidak mempunyai wanita dalam lembaga pengarah.

“Ketika ini, hanya 16.8% kedudukan pengarah di 100 syarikat tersenarai tertinggi di Bursa Malaysia dipegang wanita,” katanya lapor New Straits Times.

“Melahirkan generasi wanita pembawa pembaharuan di sektor korporat selaras dengan usaha berterusan kita untuk meningkatkan bilangan wanita dalam peranan pembuat keputusan di sektor korporat,” tambahnya.

Tiada ulasan: