Jumaat, 18 Ogos 2017

Isu stesen tutup, minyak habis: Jangan salahkan pengusaha stesen saja - PDAM

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awan
Isu stesen tutup, minyak habis: Jangan salahkan pengusaha stesen saja - PDAM
Datuk Khairul Annuar mengakui ada pengusaha stesen minyak yang memaklumkan bekalan minyak hanya dihantar oleh ibu pejabat selepas mendapat harga pasaran terkini. - Gambar hiasan / BERNAMA
 
 
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menafikan ada pengusaha stesen minyak yang sengaja menghentikan operasi demi mengaut keuntungan susulan penetapan harga baharu setiap minggu.

Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan ada operasi stesen minyak yang dihentikan namun ia disebabkan oleh polisi syarikat minyak.

"Ada (pengusaha) yang mengatakan mungkin syarikat minyak hendak tunggu harga naik baru dihantar bekalan. Jadi kita (pengusaha) akan beli harga baru, margin akan tinggi sikit. Untuk adil, kalau ada pengusaha yang hendak kaut untung, tindakan perlu diambil.
 
–– ADVERTISEMENT ––
"Tetapi kalau sumbernya adalah disebabkan kesalahan syarikat minyak, penguatkuasa pun kena adil, mereka kena ambil tindakan kepada syarikat minyak. Saya rasa syarikat minyak ada berlaku perkara-perkara seperti ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Tambahnya, ada dalam kalangan pengusaha stesen minyak yang mengakui bekalan minyak hanya dihantar oleh ibu pejabat selepas mendapat harga pasaran terkini.

"Itu adalah alasan belah pengusaha, tapi alasan belah syarikat minyak pula ada masalah logistik, pelbagai masalah mereka kata. Saya pun tidak tahu macam mana nak cakap. Banyak jugak jadi bila (harga minyak) nak naik, tiba-tiba sahaja tidak cukup lori, tak sampai hinggalah sampai bekalan minyak terhenti.

"Jadi bila bekalan terhenti, macam mana nak jual. Mereka terpaksa tutup. Tetapi apa yang dinampak oleh orang awam, kesalahan itu adalah kesalahan pengusaha. Kalau pengusaha itu tamak, dia nak lebih untung, ambil tindakan terhadap dia. Tetapi kalau stok tidak ada dan ada isu daripada penghantaran stok, siasat dan kenakan tindakan terhadap siapa yang salah," katanya.

Justeru, beliau mahu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang bersalah. 
 
 

Tiada ulasan: