Rabu, 16 Ogos 2017

ISA Samad, SPRM tak takut jerung

SUBKY LATIF


PENAHANAN atas Pengerusi SPAD Tan Sri Isa Samad oleh SPRM bukanlah satu berita yang patut digembirakan termasuk SPRM sendiri. Ia satu tindakan berat yang melibatkan orang kenamaan, yang semua patut muram.
Dia ditahan kerana dikatakan ada peranan dalam pembelian hotel di England dan Kuching dengan harga yang tinggi, lebih daripada harga sepatutnya semasa menjadi Pengurusi Felda Global Ventures dulu.   
SPRM pun bukanlah suka sangat menangkap orang besar, tapi demi tugas, negara dan profesionalnya. Sekalipun ia berita muram, tapi orang boleh berbangga pada SPRM zaman ini kerana berani menangkap jerung, sama seperti masa Tun Dr. Ismail jadi Timbalan Perdana Menteri dulu.
Selepas itu persepsi semua SPRM atas apa jua nama pada agensi pencegah rasuah itu adalah untuk ikan bilis saja. Di tengah gawat isu 1MDB, ada kecenderungan SPRM merdekakan jerung asal bukan mengaitkan 1MDB. Dengan tindakan atas Isa Samad itu SPRM buktikan ia tak  takut  pada jerung.
Jerung itu banyak. Banyak juga berstatus jerung sudah direman. Ini boleh dikira SPRM sudah lepas dari fobia cuak jerung.
Jerung pun ada rajanya. Dan rajanya pun banyak. Raja jerung saja yang belum diambil SPRM. Apabila sampai ketika raja jerung juga berani diambil, maka barulah SPRM benar-benar merdeka, bukan lagi seperti yang terdapat di dunia ketiga.
Apapun TS Isa baru ditahan dan pertuduhannya akan kita ketahui. Seperti biasa ke mahkamah dulu dengan pakaian lokap untuk direman hinggalah dibicarakan.
Orang yang dituduh belum dikira orang bersalah. Dia masih orang tidak bersalah hinggalah mahkamah membukitkan bersalah. Maka wajarlah semua menghormati sistem mahkamah kita, tidak beranggapan  tidak baik terhadapnya hingga mahkamah membuat keputusan. Bagi sekalian yang terharu, pasanglah harapan supaya dia dibebaskan kerana banyak juga kes yang dituduh dibebaskan. 

Apapun Isa bukan kali pertama dihadapkan kes rasuah. Dia pernah didapati bersalah oleh jawatankuasa disiplin Umno kerana rasuah politik dan telah dihukum. Kerana jawatankuasa disiplin Umno bukan mahkamah, Isa tidak dilihat jenayah. Ia tidak jenayah dan ia boleh pegang jawatan awa

Pada moralnya, baik ia diputuskan oleh mahkamah atau apa institusi jua, yang tidak bermaruah itu adalah sama tidak bermoral juga.
    
Jika kerajaan kita adalah bermaruah baik politik dan integritinya, maka Isa patut dijauhkan daripada mana-mana badan awam. Tetapi pengaruh masyarakat kita yang merosot maruahnya, tidak mengambil kira berwaspada atas persoalan maruah.
    
Berwaspada kepada orang yang ada rekod moral, bukanlah seolah-olah tiada peluang kedua baginya, tetapi bagi berwaspada tidak berulang perkara maruah itu dan kerajaan dan sektor awam. Risiko sentiasa ada, anjing yang tidak makan tahi, tapi apabila jumpa tahi ia hidu juga.
   
Jika dia dibiarkan menjalani hidupnya sendiri sebagai orang awam, bukan pemegang jawatan awam barang kali dia tidak terdedah dengan godaan dan fitnah.
    
Pengalaman huduh pertama seseorang kebarangkalian atas kelamahannya, tetapi apabila berulang kelemahan, ia tidak lagi kelemahan dia saja, orang yang mendedahkannya kepada godaan dan fitnah, lebih berhak disalahkan.
    
Rakan-rakan Isa tidak belajar daripada kesilapan Isa dulu, boleh dikira menyusahkan lagi kehidupan Isa dan keluarganya. Jangan tuding Isa saja, tetapi siapa yang merosakkannya? Sistem di sekelilingnya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: