Selasa, 29 Ogos 2017

Hakim wanita di Mahkamah Syariah perlu diperkasakan

MALAYSIA GAZETTE
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Noor
Huda Roslan


KUALA LUMPUR – Usaha bagi memperkasakan prestasi dan perkhidmatan hakim Syarie wanita wajar diberi perhatian yang serius.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Noor Huda Roslan berkata, ruang yang lebih luas untuk berdiskusi serta bimbingan daripada para hakim Syarie yang lebih berpengalaman perlu disediakan, lapor sebuah laman portal.

“Semua hakim Syarie yang ada boleh berkongsi pandangan dan pengetahuan masing-masing demi memastikan kesinambungan dan kecemerlangan perkhidmatan para hakim Syarie wanita.

“Ianya bagi memastikan kesinambungan dan kecemerlangan perkhidmatan para hakim Syarie wanita,” katanya dalam kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Kebangsaan Mahkamah Syariah 2017 60 Tahun Pasca Kemerdekaan, yang diadakan di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, inisiatif untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada wanita untuk dilantik sebagai hakim Syarie sama ada di peringkat Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah mahupun di peringkat Mahkamah Rayuan Syariah perlu dilaksanakan secara terancang dan teratur.

“Ini bagi memastikan para hakim Syarie yang bakal dilantik lebih bersedia dan mampu melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab sebagai hakim Syarie secara lebih berkesan dan cemerlang.

“Inisiatif pelantikan hakim Syarie wanita juga dilihat boleh membantu menyelesaikan masalah kekurangan calon hakim Syarie yang layak di negeri-negeri dan ia secara tidak langsung akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan hakim yang menyumbang kepada masalah kes-kes tertunggak di Mahkamah Syariah dengan penambahan pelantikan hakim Syarie yang terdiri dari kalangan wanita.

“Justeru, dengan penglibatan lebih ramai wanita secara aktif dalam sistem perundangan dan kehakiman Syariah di semua negeri di Malaysia akan membantu usaha untuk meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan Mahkamah Syariah.

“Seterusnya, ia turut membantu usaha untuk memperkasakan sistem perundangan dan kehakiman Syariah termasuklah semua institusi-institusinya yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: