Rabu, 16 Ogos 2017

Guan Eng persoal mengapa Gerakan tak bertindak soal kilang haram sebelum 2008

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
PULAU PINANG: Ketua Menteri, Lim Guan Eng mempersoal pentadbiran negeri yang dipimpin Gerakan pada dua pilihan raya sebelum ini yang gagal bertindak di atas penubuhan kilang-kilang haram.
 
Guan Eng menggesa pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu menyatakan pendirian mereka berhubung perkara itu memandangkan ia mula beroperasi semasa pentadbiran Gerakan.
 
"Jika mereka menentang dasar negara mengenai isu ini, dan dengan sengaja mahu struktur atau perniagaan haram dirobohkan atau diharamkan, adakah mereka bersedia sepenuhnya untuk bertanggungjawab ke atas impak sosial negatif dan implikasi terhadap ribuan kes yang masih belum dapat diselesaikan?
 
"Kita perlu bertanya kepada BN, kenapa mereka tidak bertindak ke atas kes-kes haram ini semasa pentadbiran mereka sebelum 2008?" soal Lim pada sidang akhbar hari ini.
 
Guan Eng terlebih dahulu mengumumkan cuti sehingga 21 Ogos depan kepada Exco Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang, Phee Bon Poh yang baru sahaja dibebas dari tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
"Apabila dia pulang, dia akan menjelaskan isu penahanannya oleh SPRM berhubung kes kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam, yang telah beroperasi selama lebih dari 10 tahun.
 
"Kilang itu terletak satu kilometer jauhnya dari rumah kediaman, ia berada di luar zon penampan untuk industri berat, iaitu 500 meter," katanya lagi.
 
Mahkamah Majistret pada Sabtu lalu mengeluarkan perintah reman selama lima hari terhadap Boon Poh bagi membantu siasatan berhubung operasi sebuah kilang haram.
 
Bagaimanapun, Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar itu dari perintah tahahan reman selama lima hari selepas hakim Lim Chong Fong membatalkan keputusan penolong pendaftar yang dibuat Sabtu lalu.
 
Peguam Boon Poh, RSN Rayer dan Ramkarpal Singh berkata perintah reman selama lima hari terhadap exco itu bukan sesuatu yang lazim kerana ia dikeluarkan oleh penolong pendaftar Ameera Mastura Khamis tanpa mendengar hujah anak guam mereka. 


Tiada ulasan: