Jumaat, 18 Ogos 2017

Exco Armada PPBM dakwa dipecat tanya soalan ‘Memali’

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Exco Armada Pusat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mohamad Taufik Abas mendakwa dipecat baru-baru ini setelah bertanya soalan berhubung tragedi Memali dalam program Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam, yang berakhir dengan kekecohan pada Ahad lepas.

Mohamad Taufik berkata beliau mengetahui perkara itu melalui laman sosial Twitter baru-baru ini tetapi sehingga kini, belum menerima surat pemecatan itu secara rasmi.

Beliau menganggap tindakan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memecat beliau sebagai exco Armada Pusat PPBM melalui media sosial, sebagai tidak profesional.

“Dia (Syed Saddiq) cakap benda tu (pemecatan) dalam Twitter, saya hanya tahu dalam Twitter. Boleh bayangkan seorang Ketua Armada buat perkara macam tu, terlalu kebudak-budakan. Sepatutnya ada surat rasmi, dipanggil dalam mesyuarat tertutup, bukan macam tu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau juga mendakwa bahawa kerusi yang dibaling sebenarnya dituju ke arahnya dan bukannya Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad semasa insiden itu.

Mohamad Taufik berkata rakaman video jelas menunjukkan kerusi itu ditujukan ke arahnya yang ketika itu sedang berdiri mengajukan soalan kepada Dr Mahathir yang berada di atas pentas.

“Masa saya bertanya soalan tentang Memali, Tun jawab. Apabila saya bertanya soalan kedua, kerusi dah melayang hampir dekat dengan saya dan orang lain.

“Kemudian, mereka kata perbuatan itu dirancang untuk mencederakan Tun. Sedangkan dalam video itu, kita boleh tengok Tun berada jauh dan beliau tidak cedera,” katanya.

Kekecohan tercetus setelah peserta forum dilaporkan tidak berpuas hati dengan jawapan Dr Mahathir berhubung peristiwa Memali, dan secara tiba-tiba ada individu membaling kasut, diikuti kerusi dan botol air sebelum menyalakan suar serta membalingnya ke arah Dr Mahathir yang berada di tengah pentas.

Mohamad Taufik berkata pihak penganjur seharusnya bertanggungjawab terhadap insiden itu dan tidak menyalahkan orang lain.

“Program itu gagal, sepatutnya penganjur boleh fikir. Program yang berbentuk dialog seperti itu sudah tentu ada soalan-soalan berbentuk provokatif, jadi penganjur kena pastikan tahap keselamatan semua yang hadir terjamin,” katanya.– Bernama

Tiada ulasan: