Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Sayap pemuda DAP, DAPSY terus menyalahkan pihak polis
atas kekecohan yang berlaku di forum 'Nothing To Hide 2.0', meskipun
polis menjelaskan ia tidak dijemput ke forum yang berlangsung Ahad lalu.
Ketua DAPSY Kebangsaan, Wong Kah Woh berkata demikian selepas Ketua
Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan pihaknya tidak
dijemput untuk mengawal keselamatan.
Khalid, menerusi sidang medianya hari ini memberitahu anggotanya hanya
berkawal di luar Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam ketika forum
berlangsung.
"Adalah jelas apabila mana-mana parti politik sama ada daripada Barisan
Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) yang mengadakan program,
menjadi tanggungjawab polis untuk menjaga keselamatan dan memastikan
keseluruhan program berjalan dengan lancar.
"Mereka yang membuat kecoh merupakan pihak yang patut bertanggungjawab.
Jangan tuding jari dan cuba mengelak perhatian kepada penganjur
sedangkan tidak ada mana-mana penganjur inginkan perkara ini terjadi,"
katanya di sidang media DAPSY di ibu pejabat DAP, tengah hari tadi.
Khalid dalam sidang medianya di Bukit Aman pagi tadi turut menambah,
penganjur forum 'Nothing To Hide 2.0' akan dikenakan tindakan ekoran
gagal mematuhi peruntukan di bahawa Akta Perhimpunan Awam (APA) 2012.
Ujar Khalid, penganjur forum iaitu Armada Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) tidak boleh lepas tangan dengan menyalahkan pihak lain
atas insiden kekecohan yang berlaku pada petang Ahad itu.
Ahad lalu, program Nothing To Hide 2.0 dicemari dengan insiden balingan
mercun suar dan kerusi yang dituju kepada Pengerusi parti itu Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang, sewaktu Dr Mahathir
sedang menjawab soalan daripada penonton berkenaan tragedi Memali yang
berlaku di Baling, Kedah pada tahun 1985.
Sementara itu Ahli Jawatankuasa DAPSY, Dyana Sofya Mohd Daud menafikan
kekecohan itu terjadi ekoran sikap dan penjelasan Dr Mahathir yang tidak
'menepati' jawapan yang dikehendaki peserta forum.
"Peserta yang membawa suar ke dalam dewan sebenarnya sudah menunjukkan
niat mereka hendak membuat kacau. Apa sahaja jawapan yang diberikan pun
mereka memang berniat hendak buat begitu," katanya.
Semalam Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang beranggapan kekecohan
di forum 'Nothing To Hide 2.0' tercetus kerana penjelasan bekas perdana
menteri itu tidak memuaskan hati hadirin.
Beliau kemudiannya berterima kasih kepada pihak yang bertanyakan
tragedi itu secara terbuka dan menyifatkan Dr Mahathir tidak perlu
marah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan