Khamis, 17 Ogos 2017

Berbaik Dengan PAS, PKR Tempah Jalan Sukar

Nuh Abqari

PKR


KUNJUNGAN Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya merangkap Menteri Besar Selangor, Azmin Ali ke atas Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di ibu negara pada hujung minggu lalu sememangnya menarik untuk dibicarakan.

Biarpun dikhabarkan bahawa kunjungan tersebut tidak langsung melibatkan sebarang perbincangan mengenai kerjasama politik, ianya nyata memperlihatkan usaha PKR yang masih mahu sedaya upaya memelihara hubungan dengan parti Islam itu biarpun parti-parti komponen pembangkang yang lain sudah pun berpatah arang dengan PAS.

Ketika PAS telah secara jelas memutuskan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai satu blok pembangkang yang paling besar, hubungannya dengan PKR di Selangor dan Kelantan khususnya mencerminkan satu sisi yang lain.

Misalnya, kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob baru-baru ini mengenai kerajaan negeri yang masih memerlukan kerjasama PKR dalam pentadbiran mereka akhirnya telah berjaya mengekalkan kesemua ahli PKR lantikan politik oleh kerajaan pimpinan PAS walaupun sebelum ini diarahkan meletakkan jawatan oleh Biro Politik PKR.

Kerjasama politik PKR-PAS secara rasminya terputus pada Mei lalu. Namun, pada waktu PAS sudah pun nekad untuk bertanding dalam satu blok pembangkang yang baharu iaitu Gagasan Sejahtera, PKR dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk mengelak sebarang pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dengan PAS.

Malah, PKR tidak menolak sebarang kemungkinan dan sedang menyusun strategi untuk bekerjasama dengan PAS dalam penentuan kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Jelas, PKR masih sangat memerlukan PAS jika mereka benar-benar mahu mencapai objektif untuk menjatuhkan BN.

PKR sedar bahawa PH tidak boleh bergantung kepada undi Melayu yang dihadirkan oleh PPBM dan Amanah semata-mata. Kedua-dua parti ini masih terlalu mentah dan sokongan pengundi terhadap kedua-duanya juga masih belum terbukti secara jelas. Malah, dua PRU sebelum ini nyata membuktikan jentera pilihan raya PAS telah menyumbang secara signifikan kepada undi yang diraih Pakatan Rakyat (PR).

Sentimen PH Terhadap PAS

Walau bagaimanapun, tindakan PKR untuk ‘berbaik’ dengan PAS dalam hal ini nyata telah mengenepikan sentimen rakan PH yang lain terhadap PAS. Sudah terang lagi bersuluh, DAP tidak mahu lagi mempunyai sebarang kerjasama dengan PAS lantaran percakaran politik yang tidak berkesudahan sepanjang kedua-dua parti itu berpakat dalam PR sebelum ini.

PAS dimaklumi sentiasa bertegas dengan prinsip dan agenda Islam yang dibawanya, manakala DAP pula sentiasa berkeras dengan doktrin sekular. Jurang persefahaman ini jelas kita saksikan sejak di awal penubuhan PR.

PPBM yang ditunjangi bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir pula tampaknya sudah berputus asa dengan PAS yang dilihat tidak mahu bersama-sama mendokong aspirasi pembangkang. PAS sudah dilihat begitu mesra UMNO, sedangkan PPBM itu sendiri kini sudah merupakan serpihan dan seteru utama UMNO.

Tambahan pula, tuntutan PAS yang mahu sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja dibentuk bagi melihat dan menyiasat semula insiden Memali yang berlaku di bawah pemerintahan Tun Mahathir 32 tahun yang lalu nyata menjadi satu lagi tembok pemisah yang tampaknya tidak memungkinkan sebarang kerjasama antara PPBM dengan PAS pada waktu ini.

Bagi Amanah pula, PAS dilihat tidak lagi bersama-sama memperjuangkan agenda Islam dan rakyat yang lebih progresif. PAS tampak lebih cenderung memperjuangkan isu undang-undang Islam tetapi dalam masa yang sama dilihat seolah-olah meninggalkan isu-isu rakyat dan kepimpinan yang lebih mendesak.

PAS dikatakan lemah dalam memperjuangkan isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan tindakan parti tersebut baru-baru ini dalam mengambil pendekatan berbeza mengenai skandal 1MDB nyata membangkitkan amarah dan kekecewaan kesemua komponen PH.

Kesan Kepada PKR

Nyatalah, walaupun ketiadaan PAS dalam PH sudah pun menggoncang kekuatan pakatan tersebut untuk menghadapi PRU-14 kelak, kebanyakan pemimpin, ahli dan penyokong DAP, Amanah serta PPBM lebih rela menghadapi pertembungan tiga penjuru yang melibatkan BN-PH-PAS daripada bekerjasama dengan parti Islam itu yang disifatkan telah mengkhianati perjuangan pembangkang selama ini.

Bagi PKR pula, strategi mereka untuk berbaik dengan PAS dalam soal pembahagian kerusi menjelang PRU-14 mungkin difikirkan bijak dalam objektif mereka untuk menumbangkan BN. Malah, ianya mungkin sudah pun difikirkan dengan semasak-masaknya oleh pimpinan Pparti di peringkat Pusat.

Walau bagaimanapun, tindakan bersendirian ini boleh memakan diri. Sentimen negatif yang dirasai rata-rata penyokong PH khususnya DAP dan Amanah terhadap PAS memungkinkan mereka untuk mensabotaj atau menarik balik sokongan dan undi kepada PKR.

Secara langsung, kesan ini sedikit sebanyak bakal merapuhkan lagi kesepakatan PH dan menyaksikan goyahnya kubu-kubu kuat PKR terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang. Ianya juga pasti akan terus memecahkan undi pembangkang dan membuka peluang yang lebih luas kepada BN untuk kembali meraih jumlah undi yang lebih signifikan pada PRU-14 kelak.


Tiada ulasan: