Selasa, 29 Ogos 2017

Bank Switzerland serah dokumen mengenai duta UAE berkait Jho Low

 
Yousef Al Otaiba dilaporkan melakukan urusan kewangan dengan Jho Low.


Low-Taek-Jho

PETALING JAYA: Bank Switzerland, Lombard Odier dilaporkan menyerahkan kepada pihak berkuasa dokumen setebal 900 muka surat mengenai duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Amerika Syarikat, yang dikatakan ada kaitan dengan 1MDB dan ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho, atau Jho Low.

Akhbar Switzerland, Le Temps, memetik kandungan emel yang bocor di antara duta Yousef Al Otaiba dan Jho Low.

Menurut akhbar itu Otaiba melakukan urusan kewangan dengan Jho Low tetapi berhati-hati terhadap ahli perniagaan itu.

Otaiba pernah enggan menulis surat sokongan kepada Jho Low berhubung operasi Goldman Sachs di Switzerland.

Dalam salah satu emel, Otaiba berkata Jho Low perlu “bertenang dan hentikan berpesta”, merujuk kepada tabiat Jho Low yang suka menghadiri pelbagai acara Hollywood.

Laporan yang dipetik portal berita kewangan finews.com berkata Otaiba merupakan pelanggan bank Lombard Odier sehingga tahun lalu, apabila bank itu menutup akaunnya.

Pertalian Otaiba dan Jho Low dibangkitkan awal bulan ini apabila akhbar The Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan kandungan emel menunjukkan Otaiba dan rakan kongsi dari Jordan, Shaher Awartani pernah berbincang mengenai siasatan pihak berkuasa AS, Switzerland dan Singapura berhubung transaksi yang mereka terima daripada entiti yang berkait Jho Low.

Jho Low merupakan antara individu dinamakan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) dalam siasatannya terhadap sejumlah AS$4.5 bilion aset yang didakwa dilarikan daripada 1MDB.

Menurut WSJ, syarikat dikaitkan dengan Otaiba didakwa menerima AS$66 juta daripada entiti yang menurut penyiasat menjadi saluran wang dilarikan daripada 1MDB.

WSJ berkata kandungan emel yang bocor itu menunjukkan Otaiba menggunakan kuasa diplomatiknya untuk meyakinkan bank memberikan pinjaman demi hubungan baik UAE-Malaysia.


Tiada ulasan: