Rabu, 16 Ogos 2017

Bank Negara keluarkan duit syiling KL2017

 BERNAMA

Bank Negara KL2017


Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Para Aseanke-9.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan berkata duit syiling peringatan itu dikeluarkan dalam dua spesifikasi iaitu syiling perak berwarna (pruf) dan syiling emas Nordic.

Katanya, duit syiling pruf diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 seberat 31.10 gram setiap keping, bernilai muka RM10 dan dijual pada harga RM230 sekeping manakala nilai muka duit syiling emas Nordic adalah RM1 dengan harga jualan RM10 sekeping.

Hanya 700 keping duit syiling peringatan perak berwarna dan 13,000 keping duit syiling peringatan emas Nordic ditempa,

katanya pada majlis pelancaran duit syiling tersebut di Wisma Radio RTM hari ini.

 Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Datuk Seri Zolkples Embong dan Ketua Pengarah Penyiaran. Datuk Abu Bakar Ab Rahim.

Saravanan berkata duit syiling tersebut juga boleh didapati dalam set dua dalam satu yang akan dijual pada harga RM280 setiap set dan hanya 1,300 set sahaja disediakan.

Sementara itu, Adnan Zaylani berkata contoh duit syiling itu akan dipamerkan kepada orang ramai mulai Isnin ini di pejabat BNM di sini, Pulau Pinang, Johor Bahru, Johor; Kota Kinabalu, Sabah; Kuching, Sarawak dan Kuala Terengganu, Terengganu.

Jualan duit syiling ini akan bermula pada 29 Ogos. Maklumat lanjut mengenai jualan duit syiling akan diumumkan kepada orang ramai melalui siaran akhbar sebelum tarikh jualan,katanya.

Duit syiling rekaan staf BNM, Nurul Iman Azwan itu mempamerkan maskot rasmi temasya tersebut iaitu Rimau pada bahagian hadapan selain perkataan 'Sukan SEA ke-29' dan 'Sukan Para Asean ke-9  tertera pada keliling bahagian atas serta bawah duit syiling.

Tema temasya sukan berkenaan iaitu 'Bangkit Bersama' turut diletakkan pada bahagian hadapan duit syiling tersebut.

Bahagian belakang duit syiling itu pula memaparkan perkataan 'Bank Negara Malaysia' pada bahagian atas duit syiling dan nilai muka tertera pada bahagian bawah, manakala bahagian tengah duit syiling menunjukkan logo rasmi temasya sukan itu iaitu Wau Bulan.

Tiada ulasan: