Selasa, 15 Ogos 2017

Anwar gusar insiden ganas bakal meningkat menjelang PRU

Anwar 1

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim gusar insiden-insiden ganas akan meningkat menjelang pilihan raya umum ke-14.

Ketua Umum KEADILAN itu dalam kenyataan ringkasnya berkata kerajaan perlu menjamin hak dan kebebasan untuk menyampaikan pandanganyang berbeza dengan pendirian Putrajaya.

“Pengalaman Pilihan Raya Umum ke-13, di mana beberapa serangan termasuk baling batu dan memecah cermin bas yang saya naiki berlaku tanpa sebarang tindakan oleh pihak polis.

“Maka kami mendesak kerajaan untuk bertindak tegas terhadap gerombolan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian dalam ulasannya mengenai keganasan yang berlaku semasa forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam, semalam.

Penganjur turut mengundang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjelaskan skandal 1MDB yang dikaitkan dengan pengubahan wang haram di luar negara.

Najib bagaimana pun memilih untuk tidak hadir ke progam itu.

Memetik Malaysiakini, acara yang bermula pada jam 3 petang itu bertukar menjadi ganas pada kira-kira jam 5.30 petang ketika Mahathir berucap kepada orang ramai.

Ketika Mahathir menjawab soalan mengenai tragedi Memali di Baling pada tahun 1985, selipar dan kasut dilemparkan ke arahnya. Ini diikuti oleh beberapa objek lain termasuk kerusi, botol air dan suar di dalam dewan.

Bagaimanapun, tiada objek mengenai Mahathir apabila anggota keselamatan bergegas untuk melindunginya. Pertempuran kemudian berlaku apabila penyokong BERSATU cuba menghadapi provokasi berkenaan yang akhirnya melarat keluar dewan.

Polis kemudiannya menahan tiga remaja yang berpakaian baju-t Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Namun, sayap pemuda BERSATU yang dikenali sebagai Armada menafikan bahawa suspek berkenaan adalah anggotanya. Sayap itu juga mendakwa bahawa ada yang dibayar untuk menyamar sebagai anggotanya.

Tiada ulasan: