Khamis, 31 Ogos 2017

Akar umbi kurang yakin komitmen Azmin kukuhkan Pakatan Harapan

MALAYSIA DATELINE

Azmin Ali


Komitmen timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Mohamed Ali untuk memperkukuhkan Pakatan Harapan (PH) diragui kumpulan akar umbi gabungan parti pembangkang tersebut melainkan beliau melaksanakan empat perkara.
Dalam satu kenyataan media, Gerakan Aktivis Harapan (GAH) mendesak naib presiden PH itu untuk membentuk sekretariat PH Selangor, mengusir Pas daripada kerajaan Selangor, mengarahkan PKR Kelantan menolak lantikan politik dalam kerajaan negeri dan menerima secara inklusif penyokong PH dalam keputusan dasar politiknya.
Dalam satu kenyataan yang dipetik portal Selangorkini.com, Azmin mengakui menerima keputusan PH untuk menolak sebarang perbincangan dengan Pas dan berjanji akan memperkukuhkan jentera pilihan raya bagi menghadapi sebarang kemungkinan pertandingan tiga penjuru.

Bagaimanapun GAH mengakui 'tidak teruja' dengan pengakuan Azmin dan menyifatkan kenyataan itu sebagai 'melepaskan batuk di tangga'.

Sehubungan itu, GAH turut menyokong hasrat ahli akar umbi PKR yang mendesak diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) atau kongres khas bagi membincangkan hal kerjasama dengan Pas dan mahu Azmin menjawab segala persoalan berhubung sikap tidak konsisten biro politik PKR yang dipengerusikan olehnya dalam melaksanakan keputusan parti khususnya merujuk hubungan PKR dan Pas.

"Sebagaimana yang difahamkan oleh (Naib Presiden PKR) Saudara Rafizi Ramli, Azmin adalah individu yang memporak-perandakan keputusan-keputusan partinya sendiri dengan mengubah keputusan biro politik yang asal. Termasuklah peranannya dalam siri pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar," ujar kenyataan ditandatangani enam jurucakap GAH itu.

GAH juga masih berpendirian bahawa kelompok Azmin atau 'kartel' adalah parasit yang membawa barah kepada PH jika tidak berhati-hati.

Menurut GAH, tanpa sebarang tindakan konkrit daripada Azmin, kenyataannya hanyalah 'auta dan sandiwara' yang tidak bersandarkan kepada kesungguhan dan realiti.

"Maka adalah berhak untuk semua pihak menperlecehkannya dan menolaknya dalam PRU nanti," ujar kenyataan yang ditandatangani Zanirun Baba, Othman Ismail, Annuar Ismail, Mohd Saad Ismail, Lee Thian Soo dan Dr Maniam.

Tiada ulasan: