Selasa, 29 Ogos 2017

7 daripada 10 rakyat Malaysia setuju 1MDB cemar imej Najib

 
 
Oleh Melati A. Jalil 

TUJUH daripada 10 rakyat Malaysia percaya yang skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) merosakkan reputasi Perdana Menteri Najib Razak, menurut kajian terbaru yang dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE).

Menurut tinjauan "Malaysia: Mood of the Nation", yang dijalankan antara 11 hingga 15 Ogos, hanya 14% rakyat Malaysia tidak bersetuju skandal yang 1MDB telah merosakkan imej Najib manakala 17% tidak pasti.

Kaji selidik itu juga menunjukkan 64% rakyat Malaysia mahu Najib berdebat dengan perdana menteri pilihan pembangkang seperti diamalkan di negara lain.


Hanya 15% tidak bersetuju dengan cadangan itu manakala 21% yang lain tidak pasti.

Pemerintahan Barisan Nasional (BN) juga menerima kadar kepuasan daripada pemilih yang rendah dengan hanya 29% yang berpuas hati dengannya.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, 41% daripada responden merasakan pencapaian BN sederhana sahaja manakala 31% mendapati kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh BN semakin teruk.

Sebaliknya, 49% daripada pengundi di Selangor berpuas hati dengan kerajaan pimpinan PKR. Hanya 6% tidak berpuas hati manakala 45% mendapati kerajaan di Selangor pada tahap sederhana.

Pulau Pinang yang diketuai DAP memperoleh kedudukan penerimaan sebanyak 40% dengan 12% tidak berpuas hati dengan kerajaan manakala 49% yang lain mengatakan ia sederhana.

Di Kelantan, pentadbiran yang diterajui PAS memperoleh penerimaan sebanyak 39% dengan hanya 8% tidak berpuas hati dengannya.

Pada PRU13, BN memperoleh 4.315 juta undi atau 46.2% undi popular manakala pembangkang 5.035 juta undi atau 53.5% undi popular.v Kaji selidik terkini IDE itu dijalankan secara bersemuka dengan 4,486 pengundi berdaftar. Sampel secara rawak diambil daripada 12.08 juta pengundi berdaftar di Semenanjung.

Menurut IDE margin ralat adalah sekitar 2%.

Tiada ulasan: