SEHARIAN ini alam siber berdecak dengan isu Memali
ekoran daripada keganasan yang tercetus di program Tun Mahathir, Nothing
to hide di Shah Alam petang 13 Ogos. Soalan berkaitan tragedi Memali
dikatakan permulaan detik huru hara dalam program mantan Perdana Menteri
yang kini mengetuai blok Pakatan Harapan, sehingga Tun diselamatkan
oleh petugas keselamatan.
Tragedi Memali yang telah terpahat selama 32 tahun adalah mercu tanda
kezaliman BN di zaman pemerintahan Tun Mahathir, segalanya sangat
rahsia seperti membuka kotak pandora yang malu. Generasi muda yang
kritis membuncah rasa ingin tahu apakah sebab kematian sebenar empat
orang anggota keselamatan yang terlibat dan apakah yang dimaksudkan SOP
pihak keselamatan oleh Tun, yang menyebabkan 14 orang rakyat menjadi
korban tragedi ini.
Tokoh utama yang menjadi watak tragedi ini ialah assyahid Ustaz
Ibrahim Mahmud yang dikenali juga sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau
adalah pendakwah dan ulama yang pernah mendapat pendidikan di Deoband
India, Universiti al-Azhar Mesir dan juga Maahad Dakwah di Tripoli
Libya. Beliau yang juga pemidato yang handal sehingga pernah dinobatkan
sebagai pendakwah terbaik di Wilayah Persekutuan, aktif menyampaikan
kuliah-kuliah agama di Lembah Klang.
Ustaz Ibrahim berkerja dibawah Pusat Islam sehinggalah beliau
mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke daerah
kelahirannya untuk sepenuh masa menyebarkan pencerahan dan ilmu agama
untuk masyarakat desa yang dahagakan ilmu.
Baling sekali lagi melakar sejarah, namun dengan lebih tragis dan
merobek jantung hati dengan berlakunya peristiwa berdarah Memali pada 19
November 1985. 14 penyokong PAS dan empat orang polis terkorban akibat
kerakusan dan kesilapan regim BN menanggani peristiwa ini yang
mengundang kritikan berpanjangan sepanjang tiga dekad ini.
Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis
itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus
menghukum Ustaz ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat ,
manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar
Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juneid mengistiharkan mereka yang teraniaya itu
sebagai syuhada. – HARAKAHDAILY
(Penulis ialah Pengerusi Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat)
* SSD - Suruhanjaya Siasatan Diraja
Tiada ulasan:
Catat Ulasan