Sabtu, 22 Julai 2017

Wartawan MalaysiaGazette
Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menafikan ketiadaan vaksin anti rabies di Sarawak seperti dilaporkan sebuah media semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, stok vaksin anti abies di Sarawak adalah mencukupi.

“KKM sememangnya sentiasa memastikan semua negeri menyimpan stok minima vaksin rabies pada setiap masa sebagai langkah kesiapsiagaan sekiranya diperlukan.

“Di Sarawak, Hospital Umum Sarawak menyimpan stok vaksin tersebut sebagai persediaan kemungkinan berlakunya jangkitan rabies. Untuk makluman, Sarawak merupakan negeri yang bebas rabies sehingga kes pertama disahkan pada 30 Jun 2017,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, berdasarkan Interim Guideline for Prevention and Control of Human Rabies in Malaysia, kes gigitan anjing kategori 2 dan 3 perlulah diperiksa dan dibuat penilaian oleh Pakar Perubatan bagi menentukan samada kes gigitan anjing mempunyai indikasi untuk divaksinasi atau sebaliknya.

Sejak 1 April 2017, terdapat 624 kes gigitan yang telah dikesan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 401 kes mempunyai indikasi untuk diberi vaksinasi, di mana 395 (98.5%) daripada mereka telahpun diberi suntikan vaksinasi manakala 6 lagi kes akan datang untuk mendapatkan suntikan vaksin dalam masa yang terdekat.

Selain itu, terdapat 115 kes yang sememangnya tidak memenuhi kriteria indikasi untuk diberi vaksinasi, manakala baki 108 kes pula telah dikesan pada hari semalam dan sedang diselaraskan bagi pemeriksaan dan penilaian oleh pakar sebelum boleh diberi vaksinasi, katanya.

Setakat ini, jumlah vaksin yang diperoleh sejak 1 Julai 2017 sehingga 21 Julai 2017 adalah sebanyak 2,043 vial manakala sebanyak 4,517 vial akan diterima pada awal Ogos 2017 menjadikan jumlah keseluruhan adalah 6,560 vial.

Bekalan stok sebanyak 6,560 itu adalah mencukupi untuk memberi rawatan kepada 1,640 kes gigitan anjing yang perlu divaksin (setiap kes adalah diberi 4 kali suntikan vaksin).

“Berdasarkan anggaran kes gigitan anjing sekarang, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak masih mempunyai simpanan stok vaksin rabies yang mencukupi.

“Sekiranya diperlukan vaksin tambahan dalam tempoh segera, vaksin boleh dimobilisasikan dari stok vaksin di Negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya lagi.

Pihaknya juga memaklumkan tiada pertambahan kes baru dilaporkan.

Status terkini wabak rabies adalah lima (5) kes dalam kalangan manusia yang telah disahkan positif rabies di Serian Sarawak di mana empat (4) kes telah meninggal dunia dan satu (1) kes sedang dirawat di wad Hospital Umum Sarawak (SGH) dan kes itu diberi bantuan pernafasan dan berada dalam keadaan kritikal.

“Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan agar tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar. KKM bersama JKN Sarawak terus mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan dalam menangani wabak rabies, dan pada masa yang sama memastikan stok vaksin sentiasa mencukupi,” ujarnya.-MalaysiaGazette


Tiada ulasan: