Isnin, 17 Julai 2017

Rizal: Lepas ampunkan Mahathir, bubarlah PKR

MALAYSIAKINI

Selepas Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad mengatakan DAP boleh diharamkan, Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor pula mencadangkan PKR dibubarkan.

Cadangan tersebut sebagai susulan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berpakat dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam agenda menumbangkan Datuk Seri Najib Razak menerusi Pakatan Harapan (HARAPAN).

"PKR wujud kerana menentang kezaliman Mahathir terhadap Anwar.

"Sewajarnya, hari ni PKR dibubarkan kerana mereka telah pun 'mengampunkan' dosa-dosa Mahathir terhadap bapa Nurul Izzah (Anwar)," cadang Rizal dalam catatan di Facebooknya.

Sebelum ini, Tengku Sariffuddin meminta DAP memberi tumpuan kepada 'masalah serius' berhubung penggunaan logo parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak menyedari kesalahan jawatankuasa eksekutif pusat DAP dan mendakwanya tidak demokratik apabila memanipulasi pemilihan parti, manakala 'Penang Official 1' dan bapanya mengekalkan pemerintahan diktator.

"Ini bermakna bahawa setiausaha agung DAP, Penang Official 1, tidak mempunyai kedudukan untuk sebarang kuasa dalam parti itu kerana dia tidak diiktiraf secara sah.

"Malah, kepimpinan DAP seluruhnya berada dalam ancaman dan boleh diisytiharkan sebagai haram kerana dakwaan manipulasi pemilihan mereka," tambah Tengku Sariffuddin.

Mengulas lanjut, Rizal berkata, Mahathir perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada beliau masih kekal dan konsisten dengan kenyataannya bahawa Anwar telah melakukan perbuatan di luar tabii seperti didakwanya pada 1998.

"Seperti yang pernah diminta oleh perdana menteri, selagi semua tuduhan sebelum ini tidak dijawab oleh Mahathir, rakyat jelata akan sangsi dan bahawa ini adalah hanya mainan dan sandiwara politik yang tiada keikhlasan," katanya lagi.

Dalam sidang media pada 22 September 1998 yang dibuat Dr Mahathir, perdana menteri keempat itu mendakwa Anwar terlibat dalam perbuatan liwat dan seorang peliwat tidak layak menjadi pemimpin negara.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: