Sabtu, 22 Julai 2017

PAS Kelantan serang Amanah secara psikologi, kata Che Ibrahim

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Kelantan kini melancarkan perang psikologi terhadap Amanah di negeri itu selepas tidak lagi mendapat sokongan rakyat, demikian dakwaan Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamad.
 
Merujuk kepada gertakan Pengarah Pusat Kajian Strategik Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof baru-baru ini, Che Ibrahim mendedahkan hasil kajian sokongan terhadap PAS Kelantan yang digerakkan oleh kerajaan negeri itu sendiri menunjukkan parti berteraskan Islam itu semakin kurang penyokong dan pengaruh.
 
"Apa yang dibuat oleh PAS adalah terdesak. Saya difahamkan PAS telah melantik satu pihak untuk membuat kajian pilihan raya berkenaan prestasi PAS. Hampir kesemua kajian yang dibuat ini menampakkan PAS sudah berada diluar persaingan di Kelantan. 
 
"Bermakna persaingan di Kelantan hanya antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). PAS sudah jadi parti ketiga," katanya kepada Antarapos.
 
Baru-baru ini Wan Nik menggesa kesemua bekas wakil rakyat PAS di Kelantan tidak kembali bertanding di kawasan masing-masing sekiranya tidak mahu tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
 
Bekas wakil rakyat PAS yang kini bersama parti lain adalah ADUN Salor Datuk Husam Musa, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli.
 
Husam merupakan Naib Pengerusi Amanah manakala Hatta adalah Ketua Pengarah Pilihanraya Amanah Nasional dan Kamaruddin pula menyertai PKR.
 
Menurut Wan Nik, jika mereka kembali bertanding dimana-mana kawasan di Kelantan mereka akan berdepan laluan sukar.
 
Che Ibrahim menyanggah pandangan tersebut, sambil menegaskan PH telah membuat keputusan untuk bertanding di kesemua kerusi yang turut ditandingi PAS.
 
"Isu hendak bertanding akan diputuskan oleh parti itu sendiri. PAS tak perlu campur tangan dimana parti-parti gabungan PH kaan bertanding. Yang pasti kita akan bertanding semua kerusi di Kelantan.
 
"Sebanyak 45 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen di Kelantan kita putuskan untuk bertanding atas nama PH.
 
"Kita akan abaikan semua ugutan, cabaran mereka. Penentuan kerusi akan ditentukan oleh parti yang bertanding. Kita tak akan terpengaruh dengan ugutan parti-parti lain," tegasnya lagi.
 
Amanah Kelantan sebelum ini mendakwa rakyat negeri itu berpaling menyokong mereka setelah kecewa dengan pentadbiran PAS negeri itu.
 
 

Tiada ulasan: