Rabu, 19 Julai 2017

‘Ninja’ guna garpu pecah rumah

THE MALAYSIAN TIMES



Ampang Jaya- Berbeza dengan jenayah pecah rumah lain, seorang lelaki menggunakan kaedah unik apabila menjalankan kegiatan jenayah pecah rumah dengan hanya menggunakan garpu di daerah ini.

Terbaru suspek dikesan mencuri dua telefon pintar serta komputer riba di sebuah kediaman di Lembah Jaya, Ampang, Sabtu lalu.

Mangsa berusia 30-an mengalami kerugian lebih RM2,500 selepas kediamannya dipecah masuk penjenayah dalam kejadian jam 5.30 pagi.

Menurut laporan Harian Metro, sumber polis berkata, siasatan dilakukan di lokasi kejadian mendapati suspek memasuki kediaman menerusi tingkap belakang kediaman itu.

Katanya, pihak polis turut menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kediaman bersebelahan rumah mangsa.

“Hasil siasatan mendapati terdapat seorang lelaki yang menutup mukanya seperti ‘ninja’. Suspek mulanya dikesan cuba mengumpil pintu rumah jiran mangsa tetapi gagal.

“Dia kemudian cuba mencungkil tingkap kediaman mangsa menggunakan garpu dan berjaya memecah masuk rumah berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan pemilik kediaman mendapati dua telefon pintar dan komputer riba miliknya hilang disyaki dicuri penjenayah terbabit,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Jelasnya, susulan kejadian mangsa membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini, pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya turut mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah itu, lapor Harian Metro. 

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan dan mengenalpasti penjenayah terbabit.


Tiada ulasan: