Isnin, 17 Julai 2017

MRT sudah terlebih bajet?




ULASAN Hari ini menyaksikan pelancaran fasa kedua MRT bagi jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK). Warga kota pastinya teruja melihat pelaksanaan projek tren sepanjang 53km ini, yang diharapkan mampu menjadi alternatif kepada kesesakan lalu lintas dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Saya tekankan semula keperluan untuk mewujudkan jawatankuasa khas parlimen berkaitan pengangkutan awam.

Jawatankuasa ini harus melibatkan pembuat dasar dari pihak kerajaan dan pembangkang serta ahli akademik dan pakar industri berkait pengangkutan awam.

Pertama melibatkan kos keseluruhan pembinaan projek MRT. Projek mega yang melibatkan tiga fasa ini akan merangkumi laluan rel sepanjang 150km dan perdana menteri sudah umumkan peruntukan keseluruhan projek berkenaan RM40 bilion.

Jika fasa pertama yang hanya sejauh 53km sudah menelan RM21 bilion daripada bajet tersebut, tidakkah projek ini secara keseluruhannya melepasi bajet asal (over budget)?

PKR pernah membangkitkan bahawa projek ini secara keseluruhannya akan menelan kos RM100 bilion tetapi dinafikan kerajaan.

Persoalannya kini, berapakah kos sebenar projek MRT seperti yang dibentangkan dalam kertas kerja awal dan sekiranya ia 'melepasi bajet asal' bagaimana kerajaan boleh memastikan bukan rakyat yang harus tanggung bahana hutang dek perbelanjaan yang melangkaui jumlah bajet awal?

Kedua, jajaran pertama MRT SBK ini ada persamaan dengan pembinaan MRT Seoul Line 9 - dengan kewujudan laluan bawah tanah, bermakna kos pembinaannya adalah lebih mahal berbanding laluan di permukaan darat.

Tetapi kenapa agaknya kos MRT SBK ini 2.5 kali ganda lebih mahal berbanding MRT Seoul Line 9?

Adakah kerajaan sudah melakukan proses bidaan yang teliti dan telus? Apakah aspek istimewa yang menyebabkan kos pembinaan MRT SBK ini lebih mahal berbanding MRT Seoul Line 9?

Kekhuatiran saya jelas, jika kos pembinaan awal telah melebihi bajet asal, apakah jaminan kos senggara tidak melebihi kos jangkaan, yang mana di hujungnya bakal dikenakan kepada pengguna?

Jelaslah bahawa kos pembinaan projek MRT yang lebih mahal ini kelak akan membebankan pengguna – sama ada menerusi kos tambang; atau subsidi yang ditanggung kerajaan menggunakan dana rakyat.

Hal ini berlaku tatkala kerajaan bakal mengalihkan beban menanggung kos pembinaan projek ini kepada rakyat, seperti mana beban yang ditanggung pengguna lebuhraya tol ketika ini.

Rentetan sejarah menunjukkan kemelut kewangan yang sama oleh Prasarana untuk perkhidmatan LRT, apabila tambang perkhidmatan berkenaan boleh sahaja dinaikkan.

Pada Disember 2016, tambang LRT telah dinaikkan 100 peratus, dan ini merupakan gambaran awal kepada penggunaan MRT,projek mega yang tersasar dari bajet awal.

Jawatankuasa khas parlimen 

Persoalan-persoalan inilah yang menjadi sebab kenapa saya mahukan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas parlimen mengenai pengangkutan awam sebagai usaha memperkemas tatacara tadbir urus sistem pengangkutan negara.

Ia membolehkan kami di kerusi pembangkang terlibat secara langsung kepada operator dan pelaksana projek terlibat, dalam kes ini MRTCorp dan Prasarana Malaysia atas nama parlimen. Tatacara sebegini sudah lama dilaksanakan secara demokrasi di negara maju lain.

Atas nama ketelusan juga, saya menggesa MRTCorp dan Prasarana menerbitkan laporan bulanan.
Saya pasti laporan sedemikian wujud tetapi untuk kegunaan dalaman sahaja. Jadi tidak sukar untuk menerbitkannya kepada umum.

Kerajaan tidak wajar mengumumkan projek mega yang menggunakan dana awam seperti manifesto politik. Alangkah indahnya jika keprihatinan perdana menteri juga dizahirkan ketika rakyat terkandas di laluan LRT, dan tambang yang terpaksa dinaikkan oleh pemaju dek kos senggara.

Luhur, tidaklah menjadi niat utama dalam mengkritik setiap dasar kerajaan tanpa hala tuju. Tetapi projek ini adalah projek infrastruktur paling mahal yang pernah kita bina dalam sejarah negara.

Malah jajaran pertama ini sahaja sudah menelan RM21 bilion. Bukankah lebih baik kita teliti bersama setiap sen yang disalurkan agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.


* NURUL IZZAH ANWAR anggota parlimen Lembah Pantai merangkap naib presiden dan pengarah pilihan raya PKR.

Tiada ulasan: