Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Sebarang kerjasama PAS dengan mana-mana parti politik yang
lain perlu dinilai berdasarkan keuntungan dan manfaat untuk parti, tegas
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Samsuri mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mendakwa kemungkinan
wujudnya ruang kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dan PAS di
Kedah.
Samsuri bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan ia adalah perkara yang 'tidak pasti lagi'.
"Susah nak komen, sebab kita tak lihat lagi apakah ruang dan tawaran yang diberikan oleh mana-mana pihak.
"Ia masih lagi bergantung kepada setakat mana apakah keuntungan politik
yang akan diperolehi PAS. Buat masa ini kita belum mendapat apa-apa
makluman lagi, dan perkara akan datang kita tidak tahu lagi," ujarnya
ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Selepas PAS Kedah mensasarkan untuk bertanding di kesemua kerusi negeri
itu pada pilihan raya umum yang akan datang, Mukhriz tampil dengan
reaksinya bahawa masih ada peluang untuk gabungan pembangkang
bekerjasama dengan PAS di Kedah.
Meskipun tidak ada kerjasama rasmi di antara PH dan PAS di peringkat
nasional, namun menurut bekas menteri besar Kedah itu, kerjasama di
peringkat negeri adalah soal yang berbeza,
Mukhriz juga yakin PAS Kedah akan mempertimbangkan cadangan kerjasama
dengan PH dalam usaha mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU14.
Diajukan hal itu Samsuri menegaskan apa jua cadangan berkenaan kerjasama akan diputuskan di peringkat Pusat.
"Akhirnya keputusan dibuat oleh PAS Pusat dan peringkat negeri hanya
beri cadangan dan pandangan mereka, berdasarkan maklumat di bawah dan
kajian mereka," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan